29 Mei 2023, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas (ICaRehab), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menyantuni penduduk kampung di Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol melalui pelaksanaan projek “Kualiti Kehidupan dari Sudut Kesihatan” bagi meninjau dan menyaring tahap kesihatan penduduk kampung berkenaan serta perkaitannya dengan kualiti kehidupan.

Program yang diterajui oleh Pengerusi Pusat ICaRehab, YBrs. Profesor Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin bersama-sama rakan penyelidik multidisiplin dan pelajar fisioterapi daripada UKM ini ialah hasil cetusan idea daripada pihak MAINS sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada kepada masyarakat Islam di daerah tersebut.

Program tersebut bukan sahaja memberikan pendedahan kepada penduduk kampung tentang kepentingan menjaga kesihatan dan mengetahui tahap kesihatan diri, malah program ini dapat memperkenalkan bidang fisioterapi dan sains rehabilitasi lain yang terdapat di UKM kepada masyarakat di luar bandar.

“Program seumpama ini memberikan banyak manfaat kepada penduduk kampung, terutamanya bagi meningkatkan tahap kesedaran dan kepentingan dalam menjaga kesihatan,” kata Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Tuan Haji Mahadi Wamin.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Tuan Haji Mahadi Wamin.

Setakat ini, hampir 1000 orang penduduk kampung telah terlibat dalam program berkenaan dan sebanyak 500 orang lagi akan disantuni dalam tempoh yang terdekat.

Pada masa yang sama, para pelajar fisioterapi yang terlibat dalam program berkenaan memperoleh pendedahan tentang pengurusan kesihatan awam, menimba pengalaman berinteraksi bersama-sama komuniti sebelum  memasuki alam pekerjaan, meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kemahiran mengurus serta menambahkan nilai terhadap sesi pembelajaran pelajar melalui tugasan di lapangan selain menghadiri kuliah di universiti.

Antara pihak yang terlibat dalam program “Kualiti Kehidupan dari Sudut Kesihatan” di Jelebu, Kuala Pilah, Rembau dan Jempol .

Pelaksanaan program yang menyantuni komuniti kampung ini dapat mengeratkan ukhwah antara warga UKM dengan masyarakat di Negeri Sembilan dan mengukuhkan lagi aspirasi UKM selaku universiti watan di negara ini.

Turut terlibat dalam program tersebut ialah beberapa orang pengerusi dan ahli jawatankuasa MPKK serta penghulu mukim yang bertindak selaku pemudah cara dalam program berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.