Oleh You Yee Xing
29 Mei 2023, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebanyak 20 orang pekak daripada Persatuan Orang Pekak Selangor Darul Ehsan (POPSDE) telah menyertai program pendidikan kesihatan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang pekak untuk mengamalkan pemakanan sihat.

Program yang dianjurkan oleh pasukan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Program Pendidikan Khas, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Syar Meeze Mohd Rashid ini turut melibatkan aktiviti saringan kesihatan kepada orang pekak.

Penilaian komposisi badan telah dilakukan oleh pelajar Program Dietetik, UKM.

Menurut Dr. Syar Meeze Mohd Rashid yang turut memainkan peranan sebagai jurubahasa isyarat untuk menerangkan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan oleh pelajar program Dietetik, UKM, keadaan orang pekak atau individu yang mempunyai masalah pendengaran, terutamanya hal yang berkaitan dengan komunikasi adalah tidak sama dengan orang biasa.

Mereka menghadapi kesukaran untuk memperoleh maklumat pemakanan sihat daripada ceramah, radio ataupun video kerana mereka tidak dapat mendengar bunyi atau maklumat yang disampaikan dalam format audio.

Terangnya lagi, kini, kebanyakan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan oleh pakar pemakanan tidak mempunyai bahasa isyarat.

Dr. Syar Meeze, jurubahasa isyarat sedang menterjermahkan maklumat pemakanan sihat yang disampaikan oleh pelajar Program Dietetik.

“Oleh hal yang demikian, kumpulan kami berusaha menghasilkan video pemakanan sihat yang mempunyai bahasa isyarat yang sangat jelas bagi membantu golongan ini memahami mesej yang ingin disampaikan,” tambahnya lagi.

Peserta program pendidikan kesihatan sedang menonton video pemakanan sihat yang mempunyai bahasa isyarat.

Sementara itu, pelajar Program Dietetik, UKM, Farisah Najwa Zaman berkata bahawa beliau berasa teruja apabila mendapat peluang untuk menyampaikan maklumat pemakanan sihat kepada golongan upaya pendengaran ini selain berasakan program seumpama ini dapat memberikan impak yang signifikan kepada komuniti tertentu.

Sementara itu, Presiden POPSDE, Puan Siti Mahnum Dato’ Mohd Mansor mengucapkan terima kasih kepada penganjur program yang sudi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dan amalan pemakanan sihat kepada ahlinya.

“Saya amat berharap program yang bermanfaat ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai orang pekak di Malaysia,” ujarnya.

Program pendidikan kesihatan ini juga melibatkan sebanyak dua orang pelajar prasiswazah daripada Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, UKM yang bertindak sebagai pemudah cara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.