28 Mei 2023, 15:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 22 orang kanak-kanak pekak dari Taska dan Tadika Istika Jaya Orang Kurang Upaya (OKU) Pendengaran, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) telah bersama-sama dalam lawatan sambil belajar ke Petrosains, The Discovery Centre, semalam bersempena dengan Sambutan Bulan Kesedaran Pendengaran dan Pertuturan (BHS).

Program anjuran Kelab Audiologi, Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur yang diketuai oleh Muhammad Zikri Kamarulzaman ini turut melibatkan sebanyak 16 orang pelajar prasiswazah daripada Kelab Audiologi yang bertindak sebagai pemudah cara dan dibantu oleh guru pengiring serta jurubahasa isyarat.

Anak-anak pekak Taska dan Tadika Istika Jaya OKU Pendengaran, MFD mencuba aktiviti di Petrosains sambil dibantu oleh pemudah cara daripada Kelab Audiologi, FSK, UKM.

Menurut Penasihat Kelab Audiologi dan Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat, pada kebiasaannya, BHS disambut dengan aktiviti saringan dan pemeriksaan pendengaran dan pertuturan.

“Namun begitu, pada tahun ini, program lawatan dianjurkan untuk meningkatkan cakna dalam kalangan bakal graduan audiologi terhadap kanak-kanak pekak,” jelasnya lagi.

Aktiviti inklusif yang dianjurkan ini diharapkan meninggalkan impak yang mendalam kepada bakal ahli audiologi dalam meningkatkan kesedaran tentang anak-anak pekak. Dengan kepelbagaian aktiviti di Petrosains, saya juga berharap program ini dapat membudayakan kecintaan terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan anak-anak pekak.

Sementara itu, Presiden MFD, Encik Mohamad Sazali Shaari mengucapkan terima kasih kepada penganjur program kerana begitu komited untuk sentiasa melibatkan anak-anak pekak dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Saya amat berharap dengan adanya aktiviti ini, bakal ahli audiologi khasnya dan golongan masyarakat amnya akan mengambil inisiatif untuk mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan dan meluaskan komunikasi dampak dengan golongan pekak,” ujarnya.

Program ini turut didokong oleh Penasihat Bersama bagi program ini, Profesor Madya Dr. Cila Umat di samping menerima tajaan daripada Persatuan Audiologis Kebangsaan Malaysia (MANSA), syarikat SoundLife Hearing dan syarikat Perfect Hearing.

Penasihat Kelab Audiologi, Profesor Madya Dr. Nor Haniza Abdul Wahat menyampaikan cenderamata kepada Encik Sazali Shaari, Presiden MFD (atas), wakil syarikat Perfect Hearing (tengah) dan syarikat SoundLife Hearing (bawah).

Sambutan BHS disambut pada Mei setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang kepentingan penjagaan dan pemeriksaan pendengaran dan pertuturan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.