Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Bengkel Penyiasatan Forensik Fotografi dan Penyiasatan Forensik Mikrobiologi Makanan anjuran Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dengan kerjasama Program Sains Forensik, Pusat Kajian Diagnostik, Terapeutik dan Penyiasatan (CODTIS), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh kefahaman dan kemahiran para peserta dalam aspek penyiasatan fotografi forensik dan penyiasatan mikrobiologi makanan.
Bengkel tersebut disertai oleh pelatih Kursus Penyiasatan dan Pendakwaan Undang-undang Kesihatan Awam bagi memenuhi keperluan Modul Penyiasatan Kes (EL4136) dan Modul Pendakwaan Kes (EL4146) dan diadakan secara bersemuka di Dewan Kuliah Unit Mikroskopi Elektron, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), UKM dan kerja lapangan bagi fotografi forensik dilaksanakan di Kafeteria Kolej Dato’ Onn (KDO), UKM.
Sebanyak 15 orang pelatih ILKKM yang menjalani kursus lanjutan tersebut selama setahun adalah terdiri daripada jawatan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) yang berpengalaman melebihi tiga tahun dan telah ditempatkan di pelbagai unit kesihatan awam di Jabatan Kesihatan Negeri serta Pejabat Kesihatan daerah.
Dalam bengkel tersebut, para pelatih telah didedahkan dengan kepentingan rantaian keterangan sebagai pembuktian pengendalian barang kes dari mula bahan bukti diperoleh hinggalah dikemukakan di mahkamah yang diterangkan dengan jelas oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, YBrs. Dr. Raja Muhammad Zuha Raja Kamal Bashah.
Seterusnya, topik nilai kemanusiaan dalam penyelidikan dan penyiasatan di lapangan yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, Encik Hukil Sino telah menerapkan kepentingan nilai integriti dalam melaksanakan penyiasatan di lapangan dan pematuhan prosedur operasi piawai untuk memastikan integriti bahan bukti yang diambil terjamin.
Pada masa yang sama, para pelatih menganalisis data penyelidikan mereka menggunakan perisian R Studio dengan bantuan dan tunjuk ajar oleh Pensyarah Kanan, Pusat CODTIS, FSK, UKM, YBrs. Dr. Lee Loong Chuen.
Topik mikrobiologi makanan yang disampaikan oleh Dr. Hing Hiang Lian daripada First City University College membincangkan perkara yang berkaitan dengan mikrobiologi pada makanan yang menjadi penyebab keracunan makanan dan penyakit bawaan makanan serta jenis bakteria pada makanan yang boleh menyebabkan keracunan makanan kepada manusia.
Susulan itu, beberapa ujian melalui latihan amali menggunakan susu segar dan susu pasteur dijalankan bagi memastikan susu kekal segar dan tidak tercemar sekali gus para pelatih turut diajar cara untuk mengira bilangan koloni bakteria pada plat agar.
Sementara itu, topik tentang penyiasatan fotografi forensik yang dikongsikan oleh Penolong Pegawai Sains, Pusat CODTIS, FSK, UKM, Encik Muhamad Hilmi Baba mendedahkan teknik asas fotografi ketika mengambil gambar di tempat kejadian kepada para pelatih.
Topik tersebut dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu teori dan praktikal, yakni peserta didedahkan dengan prinsip dan konsep asas fotografi forensik yang merangkumi peranan jurugambar, diari siasatan pegawai penyiasat, fotografi dalam perspektif undang-undang dan kesilapan biasa yang dilakukan semasa mengambil gambar di tempat kejadian.
Dari aspek praktikal pula, peserta diberikan latihan dengan simulasi tempat kejadian yang berkaitan dengannya bagi membolehkan pelatih melakukan penyiasatan, persampelan dan pembungkusan bahan bukti, dokumentasi dan pelaporan bergambar sebelum memberikan keterangan di mahkamah.
Aktiviti kerja lapangan fotografi forensik yang dijalankan merangkumi aktiviti di bawah Akta Makanan 1983-Persampelan Makanan: Mikrobiologi, Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Pada akhir bengkel berkenaan, para pelatih melakukan pembentangan hasil kerja lapangan yang dijalankan untuk dinilai dari segi pemahaman dan persembahan bukti bergambar yang menepati kriteria fotografi forensik secara berkumpulan.
Bengkel berkenaan memberikan banyak manfaat dan pengetahuan baharu kepada pelatih berkaitan dengan prosedur pematuhan operasi piawai dari sudut pandangan forensik bagi menambah baik gerak kerja sedia ada dalam memperkasakan penyiasatan di lapangan semasa operasi penguatkuasaan dijalankan.