Oleh Norlaili Arif
16 April 2023, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Klinik Optometri Bergerak, Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat (HEJIM), FSK, UKM telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Cermin Mata kepada 93 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Said, hari ini.

Majlis Penyerahan Cermin Mata yang disempurnakan oleh Pegawai Optometri Kanan, Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM, Puan Norlaili Arif merupakan acara kemuncak bagi perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, UKM tersebut yang telah dilaksanakan sejak 8 Januari 2023 lalu.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih daripada warga SMK Dato’ Mohd Said kepada pihak UKM yang menganjurkan program ini dan pelbagai aktiviti kesedaran untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan kesihatan mata seharusnya dilakukan lagi pada masa akan datang,” ujar Pengetua SMK Dato’ Mohd Said, YBhg. Datin Sri Nurul Hidayah.

Klinik Optometri Bergerak, UKM ialah satu daripada perkhidmatan klinikal yang disediakan oleh FSK, UKM dengan menyediakan perkhidmatan ujian saringan dan pemeriksaan penglihatan serta menjalankan program kesedaran bagi meningkatkan kualiti kesihatan mata dalam kalangan masyarakat.

Pensyarah dan Pegawai Optometri, Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM bergambar dengan Pengetua SMK Dato’ Mohd Said, YBhg. Datin Sri Nurul Hidayah di hadapan bas Klinik Optometri Bergerak, UKM.

Pelbagai masalah penglihatan telah dapat dikesan semasa ujian saringan dan pemeriksaan penglihatan dilakukan terhadap 195 orang pelajar SMK Dato’ Mohd Said pada 8 Januari 2023 lalu yang kebanyakannya mengalami miopia atau rabun jauh (103 orang) dan hiperopia atau rabun dekat (17 orang) serta selebihnya menghadapi masalah penglihatan terhad disebabkan oleh masalah rabun yang sangat tinggi.

Pemeriksaan ralat refraksi yang dijalankan terhadap sebahagian daripada 195 orang pelajar SMK Dato’ Mohd Said.

Berdasarkan rekod, daripada 195 orang pelajar yang telah disaring, sebanyak 40 orang pelajar tidak pernah menjalani pemeriksaan mata di mana-mana premis pemeriksaan awam ataupun swasta.

Selain berperanan dalam meningkatkan kesedaran awam, perkhidmatan Klinik Optometri Bergerak, UKM ini juga ialah satu daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bawah Program Optometri dan Sains Penglihatan yang membuka ruang kepada pelajar dalam bidang optometri mengasah kemahiran klinikal mereka melalui perjumpaan dengan masyarakat di luar bilik kuliah.

Salah seorang pelajar Program Optometri dan Sains Penglihatan, FSK, UKM sedang menjalankan pemeriksaan mata terhadap pelajar SMK Dato’ Mohd Said.

Sementara itu, pemberian cermin mata percuma ini dapat membantu pelajar SMK Dato’ Mohd Said yang kurang berkemampuan dan memberikan tahap penglihatan yang lebih jelas serta membantu pelajar dalam menjalani proses pembelajaran yang lebih baik di sekolah.

Klinik Optometri Bergerak, UKM juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak sama ada dalam bentuk kewangan ataupun cermin mata agar kesinambungan dalam memberikan sumbangan kepada komuniti dapat diteruskan pada masa akan datang.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru, YBrs. Dr. Kamal Abd Aziz dan barisan guru SMK Dato’ Mohd Said.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.