12 April 2023, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Biotropics Malaysia Berhad telah menganjurkan sesi perkongsian dan pelancaran National Kesum Initiative 2.0 yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Program ini adalah untuk mempromosikan penyelidikan kompetitif berkaitan dengan kesum dalam kalangan penyelidik di Malaysia.

Menurut Pengerusi National Kesum Initiative 2.0, Profesor Dr. Suzana Shahar, program yang akan mempromosikan hasil penyelidikan kesum kepada khalayak melalui pelbagai penerbitan ini diharapkan memberikan kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepelbagaian manfaat kesum.

Kajian lepas yang melibatkan penyertaan wanita pada pertengahan usia mendapati bahawa terdapat pelbagai manfaat pengambilan suplemen kesum terhadap mood, fungsi kognitif dan kualiti hidup. Selain itu, suplemen kesum juga terbukti memperbaik fungsi memori, mood, petunjuk biologi dan protein berkaitan otak dalam kalangan warga emas.

Peserta yang menghadiri sesi perkongsian dan pelancaran National Kesum Initiative 2.0 yang diadakan secara dalam talian, hari ini.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian oleh Profesor Dato’ Dr. Ibrahim Jantan dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), UKM tentang pelbagai kaedah dan pendekatan pengkajian herba untuk tujuan perubatan.

Selepas itu, Pengarah Institut Atta-Ur-Rahman untuk Penemuan Produk Semulajadi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Nor Hadiani Ismail telah berkongsikan beberapa penemuan daripada kajian lepas yang melibatkan kesum.

Panel yang terakhir daripada Biotropics Malaysia Berhad, iaitu Dr Annie George pula menerangkan tentang pelibatan syarikat dalam kajian klinikal kesum yang telah diterbitkan di pelbagai jurnal.

Pelancaran National Kesum Initiative 2.0 ialah rentetan daripada kejayaan program dalam siri pertama yang melibatkan lebih daripada 40 penyertaan dan 13 pembentangan akhir dalam kalangan penyelidik.

Program ini menggalakkan penyertaan penyelidik yang menjalankan kajian berkaitan dengan kesum dalam bentuk kajian saintifik, percubaan dan kegunaan klinikal, pertanian dan sains sosial.

Sesi pembentangan proposal kajian akan dilakukan oleh peserta diikuti dengan beberapa sesi pemantauan, bimbingan, penilaian kemajuan oleh panel pakar. Pembentangan akhir dan penyampaian anugerah untuk program ini dijangkakan akan berlangsung pada November 2024.

Penyelidik dengan proposal kajian yang novel dan mampu menghasilkan penerbitan berimpak berpeluang menjadi pemenang bagi program ini yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai galakan untuk mengembangkan kajian yang telah dijalankan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.