Oleh Marinah Muhammad
10 April 2023, 12:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kita selalu mendengar ramai yang mengeluh susahnya untuk menemui juadah atau masakan Melayu tradisional yang rasa dan kualitinya sama seperti yang dimasak oleh orang dahulu.

Satu daripada sebab masakan yang dimasak oleh orang dahulu adalah lebih sedap ialah bahan yang digunakan dalam masakan mencukupi jumlah atau sukatannya walaupun hanya untuk membuat sambal belacan. Bukan itu sahaja, masa untuk menumis, membakar atau memasak bahan tersebut juga tidak disingkatkan oleh manusia ataupun gajet dapur moden sekarang.

Bahan untuk memasak sesuatu juadah selalunya mempunyai hubungan antara satu sama lain. Lantaran itu, sukatan yang tepat bagi setiap bahan adalah sangat penting bagi membentuk hubungan yang sempurna untuk sesuatu rasa yang diinginkan dalam masakan.

Kesempurnaan rasa dan tekstur dalam masakan sukar untuk ditemui sekiranya sukatan agak-agak atau lebih kurang digunakan. Orang tua pada zaman dahulu selalunya tidak pernah memberikan nombor yang tepat apabila kita diminta untuk mengupas bawang atau menyediakan bahan untuk sesuatu masakan. Meraka akan menggunakan perkataan sepertik segenggam, sesudu, secubit dan banyak “se” lagi. Antara perkataan yang paling banyak digunakan termasuklah agak-agak cukup untuk seekor ayam, sekilo daging, sekilo beras dan seumpamanya.

Bilangan sesuatu benda dalam segenggam tangan individu yang berlainan pasti berbeza nilainya, bukan? Oleh hal yang demikian, sebagai seorang ahli matematik profesional, chef amatur di dapur sendiri dan seorang yang suka akan kesempurnaan rasa dan kemenjadian sesuatu masakan, maka terbentuklah beberapa resipi makanan Melayu lama dengan ketepatan sukatan yang selalunya diukur dengan sukatan agak-agak oleh orang dahulu. Ketepan sukatan dan masa serta hubungan antara setiap bahan dalam resepi masakan adalah sangat berkait rapat dengan konsep matematik.

Sebagai contohnya, sambal belacan mengikut cita rasa orang dahulu sangat sukar untuk dilakukan sekiranya tiada sukatan yang tepat bagi setiap bahan yang digunakan. Penulis kongsikan resepi yang tepat untuk sambal belacan yang sempurna rasanya setelah beberapa kali percubaan membuatnya berpandukan resepi daripada bonda penulis dengan kuantiti setiap bahan dalam resepi tersebut hanyalah menggunakan imbuhan “se” dan sukatan agak-agak.

Dalam sesuatu resipi, pelbagai bahan yang digunakan mempunyai hubungan antara satu sama lain dan matematik menjadi konsep yang sangat penting dalam menghasilkan masakan yang berkualiti.
  • 30 tangkai cili api
  • Enam tangkai cili besar
  • Tiga ulas bawang merah
  • Satu ulas bawang putih
  • Tiga biji limau nipis yang diambil jusnya
  • Dua sudu besar belacan yang telah disangai
  • Satu sudu besar garam
  • Empat sudu besar gula
  • Tiga sudu besar minyak untuk menumis
  • Satu biji tomato

Mula-mula, tumis bawang merah dan bawang putih yang telah dimayang sehingga garing kekuningan. Kemudian, masukkan cili besar dan cili api yang telah dipotong dan tumiskan bersama-sama bawang tadi untuk seketika, lebih kurang lima minit. Seterusnya, kisar bahan yang ditumis tadi bersama-sama belacan sangai, gula, garam dan jus limau nipis.

Air tidak dimasukkan ketika proses mengisar menggunakan pengadun tangan. Jadi, tekstur sambal yang dihasilkan adalah sama seperti sambal yang ditumbuk dengan lesung batu. Sambal yang telah siap tadi akan ditambahkan dengan hirisan tomato secukupnya sebelum dimakan. Tiga sudu besar sambal mencukupi dengan satu biji tomato yang dihiris dadu.

Jika diteliti resepi yang dibangunkan di atas, nombor yang tepat diletakkan di setiap bahan yang digunakan. Hal ini adalah untuk memastikan tekstur dan rasa sambal belacan yang konsisten setiap kali kita atau sesiapa sahaja ingin membuatnya. Mudah bukan?

Di samping itu, setiap bahan ini juga mempunyai hubungan antara satu sama lain. Misalnya, untuk memberikan rasa yang autentik dalam sambal belacan, hubungan antara satu sudu besar garam dengan empat sudu besar gula perlu digunakan.

Hubungan antara bahan ini penting dalam masakan yang juga merupakan konsep penting dalam matematik yang dipanggil nisbah yang boleh ditulis sebagai 1:4. Konsep nisbah ini juga digunakan dalam cara menghidangkan sambal belacan ini seperti tiga sudu sambal mencukupi dengan satu biji tomato yang dihiris dadu. Jadi, nisbah 1:3 digunakan dalam mengira sukatan sambal yang telah siap dikisar dengan bilangan tomato.

Selain itu, resepi yang tepat ini juga akan memudahkan kita untuk mengurangkan atau meningkatkan jumlah sambal belacan yang dihasilkan. Katakan kita ingin menyediakan sambal belacan dengan sekilo cili padi untuk jamuan di pejabat. Pertama sekali, kita hanya perlu mengukur berat yang tepat untuk 30 tangkai cili padi. Apabila ditimbang, didapati bahawa 30 tangkai adalah bersamaan dengan 200 gram cili padi.

Sekarang, kita boleh menggunakan konsep matematik untuk menghasilkan resepi yang tepat untuk menghasilkan sambal belacan yang menggunakan sekilo cili padi. Penyelesaiannya sangat mudah, iaitu hanya dengan menggunakan operasi bahagi untuk mendapatkan perkadaran bagi setiap bahan yang digunakan.

Bagi resepi sambal belacan ini, sekilo adalah bersamaan dengan 1000 gram. Maka itu, kita hanya perlu bahagikan 1000 gram (cili padi yang akan digunakan) dengan 200 gram (cili padi dalam resepi asal) untuk mendapatkan nilai kadaran.

1000÷200 = 5

Nilai kadaran yang diperoleh ialah lima. Jadi, semua bahan dalam resepi di atas hanya perlu didarabkan dengan lima untuk membolehkan resepi sambal belacan yang tepat dan konsisten rasanya dihasilkan untuk 1000 gram cili padi.

Dengan penggunaan matematik ini, kita sudah tidak perlu risau yang sambal belacan yang ingin dihasilkan sama ada konsisten atau tidak rasanya dengan sambal belacan yang selalu disediakan sebelum ini dalam jumlah yang lebih sedikit.

Oleh hal yang demikian, bukanlah suatu perkara yang pelik jika mendengar bahawa ilmu matematik diperlukan untuk memasak. Ketahuilah bahawa asas matematik itu sememangnya sangat penting dan diperlukan dalam semua cabang kehidupan.

Jadi, inilah hasilnya apabila penulis mengambil peluang untuk sentiasa bersama-sama bonda setiap kali menolongnya di dapur. Pelbagai resepi masakan atau juadah tradisional Melayu dengan sukatan yang tepat telah berjaya dikumpulkan.

Seorang ahli matematik tidak pernah berasa terbeban untuk mengira jumlah bawang merah yang ada dalam segenggam tangan dan tidak juga pernah merasa penat untuk mencatatkan masa yang tepat untuk mengukus beras pulut, misalnya. Walau bagaimanapun, kami akan rasa lebih terbeban sekiranya disuruh memasak atau menyediakan bahan untuk dimasak tanpa sukatan yang tepat kerana memasak lebih mudah dengan matematik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.