22 Mac 2023, 23:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 36 orang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam, Bandar Baru Bangi, Selangor telah menyertai Program Memasak Makanan Sihat anjuran Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kursi Kelestarian UKM-YSD serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM

Program ini diadakan bagi memupuk minat dan amalan memakan makanan sihat, terutamanya sayur-sayuran dalam kalangan kanak-kanak.

Program tersebut juga menjadi satu daripada aktiviti dalam minggu pertama persekolahan untuk menimbulkan rasa keseronokan kembali ke sekolah selain mengajar murid cara penyediaan makanan sihat dengan betul.

Peserta sedang memasak menu sihat bersama-sama ahli kumpulan dalam Program Memasak Makanan Sihat di SK Jalan Enam, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Guru Besar SK Jalan Enam, Encik Azril Sham Mohamed menyatakan bahawa aktiviti memasak makanan sihat itu sangat sesuai diadakan untuk memupuk amalan pemakanan sihat dan semangat bekerja dalam kumpulan.

Perkara ini selari dengan konsep transformasi pendidikan kebangsaan yang tidak menumpukan kepada aktiviti pembelajaran aktif semata-mata.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf, pensyarah dan pakar diet yang mengetuai program ini berkata, “Kami sangat teruja kerana semua murid yang terlibat dalam program ini sangat suka akan makanan yang disediakan oleh mereka sendiri, malah ada juga yang meminta untuk membawa pulang sayur-sayuran bagi membolehkan ibu bapa mereka menanam atau memasak sayur-sayuran berkenaan.

Pada masa yang sama, penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, Puan Farah Hanan yang turut terlibat dalam program ini berpandangan bahawa tidak sukar untuk mendorong kanak-kanak memakan sayur-sayuran dengan adanya aktiviti seumpama ini.

Peserta sedang menikmati makanan sihat dalam Program Memasak Makanan Sihat.

Selain aktiviti memasak makanan sihat, murid juga menjalankan pelbagai aktiviti seperti menanam sayur-sayuran, menuai hasil tanaman, membuat beg daripada kertas terpakai dan mengikuti permainan papan Wira Galaksi yang diinovasikan oleh penyelidik UKM yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf.

Sebagai rekod, Program Masakan Sihat  ini merupakan sebahagian daripada program Ekspedisi Wira Galaksi dan Taman Lestari Cilik yang telah dimulakan sebelum cuti sekolah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.