11 Mac 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertempat di Yayasan Orang Buta Malaysia, Kuala Lumpur, Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) atau Malaysian Professional Centre dengan kerjasama Yayasan Orang Buta Malaysia, Next Generation dan WiLAT, The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM), Association of Malaysian Optometrist (AMO), IKK and Redland Aviation Services serta agensi berkaitan telah menganjurkan Program Bakat Citra Rasa. Program ini memberikan peluang kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan meluahkan rasa dan perasaan sebagai golongan OKU bersempena dengan Hari Braille Sedunia yang disambut pada 4 Januari 2023 tahun ini.

Menurut Presiden BIM, YBrs. Dr. Wilmot Sasindran Dass, program ini diadakan untuk memberikan pendedahan kepada golongan profesional, khususnya yang berkepentingan bagi menjayakan program pemindahan ilmu dengan komuniti OKU. Selain itu, ahli BIM bersama-sama komuniti OKU dapat meluahkan perasaan serta meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam berkomunikasi di hadapan khalayak ramai di samping menerapkan nilai murni dan kasih sayang menerusi program yang dianjurkan ini.

Presiden BIM, YBrs. Dr. Wilmot Sasindran Dass.

Program ini dihadiri oleh ahli profesional BIM dan rakan kerjasama serta peserta dalam kalangan OKU penglihatan sekitar Lembah Klang. Kerjasama ini bukan sahaja dapat memupuk keprihatinan golongan profesional terhadap golongan OKU yang sebenarnya merupakan komponen dalam masyarakat madani seperti yang digagaskan menerusi Malaysia Madani. Enam prinsip yang digariskan, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sudah tentunya dapat dipraktikkan dengan berkesan oleh peserta dalam program sedemikian.

Antara peserta dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam Program Bakat Citra Rasa.

Program yang penuh bermanfaat ini dilaksanakan dengan pelbagai aktiviti seperti sesi ceramah daripada Naib Presiden AMO, Encik Muhamad Syukri Mohamad Rafiuddin, sesi perkongsian pengalaman daripada peserta OKU penglihatan, pertandingan penyampaian pengalaman masing-masing oleh peserta OKU, pemeriksaan mata oleh pakar mata, penyampaian hadiah kepada peserta OKU dan penyerahan cenderamata buku Braille kepada Yayasan Orang Buta Malaysia.

Dr. Wilmot Sasindran Dass (kanan) bersama-sama salah seorang peserta program yang menjuarai Pertandingan Program Bakat Citra Rasa, Muhammad Ilman Hafiy Mohd Noor Hafizah dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor (kiri).

Dengan adanya program seumpama ini, BIM dapat mendengar segala luahan dan perkongsian daripada para peserta OKU penglihatan. Oleh yang demikian, BIM berusaha membantu mereka dengan mencadangkan kepada pihak yang berkaitan untuk menambak baik sistem sedia ada atau memberikan inovasi kepada pelaksanaan program mahupun pelbagai kemudahan kepada golongan ini.

Sesi pemeriksaan mata oleh pakar mata.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.