Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Malaysia perlu mengorak langkah ke arah pembuatan ubat-ubatan dengan menggunakan mesin pencetak tiga dimensi bagi memastikan sektor perubatan dan farmaseutikal mengalami perubahan positif untuk kesihatan rakyat di negara ini.
Menyentuh perihal ubat-ubatan cetakan tiga dimensi, rancangan Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) menampilkan Dekan Fakulti Farmasi Universiti Teknologi MARA Cawangan Selangor, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abu Bakar Abdul Majeed sebagai tetamu undangan untuk berkongsikan pendapat berkenaan dengan topik berkenaan.
Sesi perkongsian dimulakan dengan penjelasan mengenai konsep cetakan tiga dimensi oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Abu Bakar Abdul Majeed. Beliau menyatakan bahawa cetakan tiga dimensi dalam bidang farmaseutikal ini agak baharu dan masih berada pada peringkat kajian. Hal ini dikatakan demikian kerana bagi menghasilkan sesuatu ubat yang berkesan memerlukan proses yang melalui tiga perkara penting, iaitu keberkesanan, keselamatan dan kualiti.
Jika kita menelusuri sejarah penghasilan ubat-ubatan di Mesir dan China, pembuatan ubat-ubatan adalah dengan menggunakan kaedah tradisional, yakni dengan menggunakan tangan manusia sepenuhnya dan bersumberkan tumbuh-tumbuhan, mineral galian dan haiwan.
Menurutnya, pada kurun ke-19, pembuatan ubat-ubatan dicipta daripada bahan kimia. Sejak adanya kewujudan bahan kimia, pengilangan bahan ubat-ubatan dilihat beroperasi dengan pantas. Apabila elektrik dan elektronik diperkenalkan, pengilangan ubat-ubatan bertambah maju. Hal ini menunjukkan satu kemajuan yang baik. Apabila teknologi komunikasi dan komputer pula diwujudkan, dua teknologi ini digandingkan dengan pengilangan ubat-ubatan, namun belum berada pada tahap yang tinggi. Kini, zaman Revolusi Perindustrian 4.0 dilihat mampu membantu pengilangan ubat-ubatan melalui cetakan tiga dimensi.
Tambah beliau, untuk mencetak ubat-ubatan dalam tiga dimensi, ubat-ubatan tersebut perlu direka bentuk dengan menggunakan komputer dan dipindahkan ke mesin pencetak tiga dimensi. Namun begitu, tidak semua mesin pencetak tiga dimensi dapat melakukan tugasan ini kerana terdapat beberapa keperluan yang perlu dipenuhi oleh sesuatu mesin pencetak.
Antara kelebihan cetakan ubat-ubatan dengan menggunakan mesin pencetak tiga dimensi termasuklah dapat mencetak ubat itu dengan lapisan tertentu dan mengikut keperluan pesakit. Kadar tindak balas ubat-ubatan dalam jangka masa tertentu juga memerlukan mesin pencetak tiga dimensi membuat lapisan demi lapisan agar setiap lapisan itu cair di dalam perut mengikut masa tertentu serta bahan aktif akan diserap ke dalam darah.
Beliau turut berpandangan bahawa berkemungkinan wujudnya satu senario pada masa hadapan, yakni seorang pesakit diberikan preskripsi ubat, kemudiannya diserahkan kepada ahli farmasi dan ubat yang dikehendaki dicetak di farmasi itu mengikut keperluan. Bukan itu sahaja, mesin pencetak tiga dimensi dan keperluan lain berkaitan dengan cetakan tiga dimensi berkemungkinan boleh dibeli dan diletakkan di rumah sendiri. Namun begitu, hal ini memerlukan latihan dan kepakaran tertentu.
Dari segi pengawalaturan, semua ubat memerlukan kawalan yang ketat untuk memastikan ubat itu berkesan, selamat dan berkualiti. Oleh yang demikian, isu cetakan ubat-ubatan secara cetakan tiga dimensi perlu dilihat dari sudut undang-undang bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Sebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, beliau menyatakan bahawa bagi menjayakan pembuatan ubat-ubatan dengan menggunakan cetakan tiga dimensi, kerjasama daripada ahli farmasi, ahli kimia, saintis bahan dan pereka bentuk tiga dimensi amat diperlukan.
Ahli farmasi berperanan bagi memastikan kaedah dan proses yang dilalui untuk menghasilkan ubat-ubatan adalah betul. Bahan untuk pembuatan ubat-ubatan ini adalah sangat penting. Hal ini memerlukan kemahiran saintis bahan dan doktor. Pereka bentuk tiga dimensi pula perlu memastikan segala hal ehwal reka bentuk di komputer dan mesin pencetak tiga dimensi berjalan dengan lancar.