10 November 2022, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – Dalam era ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan ini, petugas media perlu mempersiapkan diri dengan melakukan transformasi yang memacu ke arah teknologi digital agar kekal relevan dan berdaya saing dalam industri.

Perkara ini diakui oleh tiga graduan Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia, iaitu Ketua Penerbit Berita Video Digital Sinar Harian, Noor Liza Abu Hasan; Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Badruldin Zakaria dan Pegawai Perhubungan Media Rasuah Busters, Sinar Harian, Asmaliza Mansor ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah bersama-sama pengamal media dalam Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM.

Menurut Noor Liza Abu Hasan, perkembangan komunikasi digital yang sangat pesat dan canggih menyebabkan hampir seluruh kehidupan manusia seperti urus niaga wang, pengangkutan awam dan perniagaan berkait dengan perhubungan melalui jaringan Internet.

“Saya menjangkakan industri media pada masa akan datang semakin mencabar. Jadi, petugas media pada masa ini perlu melakukan perubahan dengan mengaplikasikan teknologi digital dalam tugas mengikut peredaran masa dan mempersiapkan diri supaya kekal relevan dengan perubahan yang amat pantas ketika ini,” ujarnya.

Tambahnya, rakan-rakan media yang berminat menceburi bidang akademik adalah amat dialu-alukan kerana generasi akan datang memerlukan penggiat industri yang mempunyai pengalaman.

“Tidak rugi jika kita mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengurusan untuk kelangsungan perjalanan kerjaya. Hal ini juga membuka peluang pada masa hadapan kerana adakalanya industri tenat dengan kewujudan media sosial yang meningkatkan persaingan,” jelasnya lagi.

Menurut Badruldin Zakaria pula, pelibatan industri media dalam sesebuah universiti dapat memastikan hubungan yang berkesan dan memberikan impak positif antara universiti dengan industri.

“Memang seronok dapat berkongsikan pengalaman dunia media dengan pelajar kerana mereka tidak mengetahui keadaan sebenar dalam industri. Kami juga dapat menimba ilmu daripada universiti untuk diaplikasikan dalam industri.”

“Di UUM, pensyarah sentiasa memahami situasi kami dan terbuka menerima pandangan kami mewakili pihak industri. Teori dan praktikal juga berjalan secara serentak sepanjang pengajian,” jelasnya lagi.

Perkara sama turut diakui oleh Asmaliza Mansor yang mengundang semua pengamal media untuk menyambung pelajaran agar dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran masing-masing demi perkembangan kerjaya.

“Dunia media pada hari ini menuntut seseorang itu bukan sahaja mempunyai kemahiran sebagai seorang wartawan, malah memainkan peranan sebagai jurufoto dan juruvideo.”

Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata UUM kini menjadi sebahagian daripada kisah perkembangan industri kewartawanan negara apabila sebanyak tujuh pengamal media telah memperoleh Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia.

“Saya berharap dengan segala ilmu yang diperoleh di sini dapat meningkatkan tahap profesionalisme wartawan negara untuk mengangkat cerita besar negara pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Ketiga-tiga graduan tersebut menerima Ijazah Sarjana Sains Kewartawanan Multimedia yang disampaikan Pro-Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah Darul Aman pada 7 November di Dewan Mu’adzam Shah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.