13 Oktober 2022, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – “Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mencatatkan prevalen obesiti dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun ke atas adalah sebanyak 19.7 peratus, manakala 30.4 peratus lagi mengalami berat badan berlebihan. Hal ini bermaksud satu daripada setiap dua orang dewasa di Malaysia (50.1 peratus) mempunyai berat badan berlebihan dan obes.”

Demikian ucapan Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YB Khairy Jamaluddin dalam Majlis Pelancaran Modul Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit dan Pelaksanaan di Semua Kementerian atau Jabatan di Ibu Pejabat KKM, semalam.

“Daripada jumlah tersebut, masalah obesiti dalam kalangan penjawat awam yang bekerja di agensi atau jabatan kerajaan mencapai 41.4 peratus. Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan negeri yang tertinggi dengan masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa, iaitu sebanyak 45.8 peratus,” tambah YB Khairy Jamaluddin. 

Berikutan situasi ini, KKM telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit, iaitu program intervensi pengurusan berat badan bagi penjawat awam yang mempunyai berat badan berlebihan serta obes.

Program intervensi pengurusan berat badan yang dijalankan mengikut persekitaran tempat kerja ini dipilih kerana seorang pekerja dewasa menghabiskan sebanyak satu per tiga daripada waktu sehariannya di tempat kerja.

Program Pengurusan Berat Badan Trim & Fit merupakan satu daripada polisi yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet ke Arah Persekitaran Hidup yang Sihat (JKPHS) Bil. 1/2018 pada 1 November 2018, iaitu Mewajibkan Program Pengurusan Berat Badan di Kementerian atau Jabatan Terpilih.

Program yang dilaksanakan sejak tahun 2012 di KKM ini telah memberikan manfaat kepada 3780 orang penjawat awam di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur. Berdasarkan rekod, sebanyak 58  jabatan atau agensi kerajaan telah menjalankan program ini hingga kini.

Program yang dirangka dengan pengisian modul yang diolah dan disesuaikan untuk pelaksanaan di tempat kerja ini merangkumi modifikasi diet, senaman dan motivasi. Selain itu, pelibatan pelbagai profesion seperti pegawai sains (pemakanan), pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan, pegawai farmasi, pegawai psikologi dan pegawai pemulihan perubatan (fisioterapi) memberikan impak yang lebih optimum secara holistik.

Pelaksanaan program ini di setiap kementerian atau jabatan merupakan pilihan terbaik dengan sokongan serta khidmat teknikal yang diberikan secara percuma oleh Bahagian Pemakanan, KKM. Pelaksanaannya pasti memberikan impak yang tinggi, bukan sahaja dari segi kesihatan, malah meliputi aspek fizikal, mental, motivasi dan keyakinan diri.

Turut hadir dalam majllis pelancaran program tersebut ialah Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Harjeet Singh, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Yusran Shah Mohd Yusof, Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, YBrs. Puan Zalma Abdul Razak, para pegawai kanan serta wakil kementerian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.