Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSintok – Taman Botani Universiti Utara Malaysia (UUM) berpotensi menjadi satu daripada produk pelancongan pendidikan atau edutourism bagi meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menghargai sumber alam semula jadi di samping menggamit kehadiran pelancong.
Naib Canselor UUM, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kawasan seluas 10 hektar itu dilihat mampu menjadi pusat rekreasi berkonsepkan alam semula jadi untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai tumbuh-tumbuhan dan sumber hutan.
Jelasnya, inisiatif ini diambil demi melindungi, memelihara dan memulihara tumbuh-tumbuhan asli yang jarang ditemui dan semakin terancam serta bernilai tinggi, khususnya pokok kebangsaan Malaysia, iaitu Merbau.
Kawasan hutan yang menghijau cukup cantik dan mendamaikan ini kaya dengan pelbagai tumbuhan istimewa yang boleh ditemui seperti 50 spesies pokok palma, 14 spesies buluh, 33 spesies pokok hiasan, empat spesies pokok landskap dan 70 spesies pokok hutan asal selain 43 spesies pokok yang ditanam untuk pengekalan spesies ex situ.
“Pengunjung boleh melakukan aktiviti santai yang menyihatkan seperti bersiar-siar, bergambar, berjoging, berkayak di kolam botani dan belajar tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh menerbitkan rasa cinta terhadap alam,” katanya ketika melawat Taman Botani sempena Program Perhimpunan Bulanan UUM pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, bagi merealisasikan hasrat ini, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilakukan di samping menyediakan kemudahan riadah serta memaparkan info terhadap pokok yang dipamerkan.
Sementara itu, Penolong Pemelihara Hutan di Jabatan Pembangunan dan Penyengaraan, Amran Mahmud berkata, Taman Botani ini dibangunkan bertujuan mengekalkan sumber alam semula jadi di Sintok yang kaya dengan flora dan fauna.
Taman ini bertindak sebagai pusat pengumpulan spesies tumbuh-tumbuhan untuk pembelajaran, pemeliharaan serta pemuliharaan bagi pembangunan pertanian dan alam sekitar yang lestari.
“Para pelajar juga sering melakukan aktiviti riadah sekitar kawasan taman yang turut dilengkapi kemudahan asas seperti wakaf, trek pejalan kaki dan tandas,” tambahnya lagi.