23 Mac 2022, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Isu kenaikan harga makanan ternakan atau dedak untuk ayam dan lembu mendatangkan beban yang besar terhadap golongan penternak, terutamanya komuniti kampung yang terlibat dalam industri penternakan.

Keadaan ini telah mendorong Ketua Pusat Kajian Food Security, Innovation dan Development (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail melakukan penyelidikan terhadap Azolla sebagai alternatif baharu makanan ternakan bagi membantu meringankan kos penternak setempat.

Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail, Ketua Pusat Kajian Food Security, Innovation dan Development (FInDER), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, UUM.

Menurutnya, Azolla merupakan sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis cyanobacterium (alga biru-hijau), iaitu anabaena. Azollla tumbuh dengan banyak di dalam kolam air dan padi di kebanyakan negara di Asia.

“Terdapat pelbagai spesies Azolla yang setiap satunya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan dalam bidang makanan dan kosmetik. Negara luar seperti India, Indonesia dan Filipina pula banyak menggunakan Azolla sebagai makanan ternakan,” kata Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail.

Di Malaysia, usaha yang sama telah dilakukan, namun kegunaan Azolla belum mencapai tahap yang optimal dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.

Beliau menjelaskan bahawa Azolla mempunyai kandungan protein yang tinggi, iaitu sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus dan kandungan asid amino seperti lisin. Hal ini menjadikan tumbuhan ini sebagai sumber makanan yang amat sesuai untuk ternakan dan inisiatif yang lebih agresif perlu diambil bagi meneroka potensinya.

Makanan ternakan yang dihasilkan.

Mengambil kira faktor tersebut, beliau telah melakukan penyelidikan mendalam terhadap beberapa jenis water fern seperti Azolla untuk menerokai kegunaan genus ini dari pelbagai segi.

Menurutnya lagi, satu daripada tujuan utama penyelidikan dalam bidang tumbuhan ini dilakukan adalah untuk menerokai potensinya dalam bidang makanan manusia, makanan ternakan dan kosmetik.

Azolla yang diternak di UUM.

“Potensi tumbuhan dan alga selain Azolla juga sedang dikaji dan akan terus diterokai, terutamanya bagi menyokong kesinambungan usaha bagi mendokong rangkaian bekalan makanan yang lebih kuat dan stabil,” tambah ahli mikrobiologi ini.

Keselamatan makanan merupakan satu daripada agenda besar negara yang perlu kita sokong. UUM sendiri mempunyai kepakaran dan sokongan yang cukup untuk menyumbang ke arah pemantapan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti tempatan, terutamanya golongan B40 yang berkecimpung dalam industri penternakan.

“Setakat ini, hasil daripada penyelidikan mendapati Azolla sangat sesuai dijadikan makanan ternakan, terutamanya untuk arnab dan ayam. Saya masih meneruskan usaha untuk melihat potensi Azolla untuk makanan ternakan lain, antaranya ialah Azolla pinnata,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyelidikan itu bermula dengan dorongan ingin membantu penternak daripada golongan B40 dan menerima geran sokongan dari UUM.

Menurutnya lagi, penglibatan FInDER dalam projek penternakan ayam dalam kalangan komuniti masyarakat kampung di Kedah sejak tahun 2020 telah membuka mata penyelidik berkaitan isu makanan ternakan.

Buat masa ini, saya telah menghasilkan beberapa variasi makanan ternakan untuk arnab dan ayam yang telah mencapai fasa pre-komersialisasi. Selain itu, terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi untuk memastikan pertumbuhan Azolla cukup untuk menampung keperluan penyelidikan dan seterusnya keperluan kegunaan secara komersil.

Beliau menyatakan bahawa kerjasama dan sokongan daripada anak syarikat UUM sendiri akan dijadikan sebagai platfom bagi memastikan produk itu berjaya dikomersialkan dan mencapai komuniti sasaran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.