1 Mac 2022, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menteri Alam Sekitar dan Air, Yang Berhormat Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa semua usaha dan pelibatan dalam mekanisme pasaran karbon perlu melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Jelas beliau, KASA sebagai pihak berkuasa kebangsaan bertanggungjawab untuk membenarkan semua transaksi antarabangsa kredit karbon dan melaksanakan pelarasan berpadanan bagi menjamin ketelusan pelaksanaan.

Beliau menerangkan antara keputusan utama Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada tahun lalu adalah keperluan wajib bagi pihak berkuasa kebangsaan untuk membuat pelarasan berpadanan bagi mengelakkan pengiraan berganda bagi semua transaksi kredit karbon yang melibatkan sesuatu negara.

Keputusan rundingan di UNFCCC COP-26 juga menyatakan bahawa semua transaksi kredit karbon yang melibatkan pemindahan antarabangsa perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa kebangsaan. Keperluan untuk membangunkan had transaksi dan mekanisme kawal selia juga diputuskan supaya transaksi kredit karbon antarabangsa lebih telus dan mengambil kira kepentingan pemegang taruh berkaitan.

Beliau menjawab soalan Tuan Wong Hon Wai (Bukit Bendera) dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini berkaitan dengan mekanisme perdagangan karbon atau pasaran karbon kredit di Malaysia.

Beliau juga menjelaskan bahawa KASA sebagai badan yang diiktiraf oleh UNFCCC bertanggungjawab membangunkan infrastruktur asas bagi memantau dan menjejaki transaksi kredit karbon negara. KASA juga berkewajiban menyediakan laporan yang melalui proses penilaian oleh pasukan pakar yang dilantik oleh UNFCCC mengenai pelibatan negara di dalam mekanisme pasaran karbon.

“Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri, KASA sedang membangunkan Pusat Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) Kebangsaan yang akan turut mengandungi fungsi khusus berkaitan dengan pemantauan dan pelaporan mekanisme pasaran karbon negara,” tambah beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.