Diterbitkan pada 25 Februari 2022, 21:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan bahawa status terkini pemulihan bekalan air di Wilayah Klang dan Petaling berikutan kerja-kerja pembaikan sistem elektrikal di Rumah Pam Bukit Jelutong U8, Shah Alam mencapai 32% sehingga pukul 6.00 petang tadi. Pemulihan tersebut melibatkan bekalan air di 41 kawasan yang terjejas. Sehingga petang tadi, Wilayah Petaling mencapai 100% pemulihan manakala Wilayah Klang masih belum pulih sepenuhnya (0%).

Menurut Air Selangor, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi dan jarak premis pengguna. Bekalan air di 41 kawasan yang terjejas tersebut dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9.00 pagi, 26 Februari 2022.

Bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan oleh Air Selangor di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian. Para pengguna diharap agar dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.

Air Selangor menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian. Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.

Gunakan air secara berhemat.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Air Selangor di talian 15300. Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi