Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Institut Kanser Negara (IKN) dengan kerjasama Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menganjurkan forum yang bertajuk “Memahami Aspek Ketidaksamaan dalam Penjagaan Kanser di Malaysia” pada 17 Februari 2022 di Auditorium, IKN. Forum yang diadakan bersempena dengan Majlis Perasmian dan Simposium Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 disiarkan secara langsung melalui laman media sosial rasmi Facebook IKN dan KKM-Portal MyHealth.
Menurut Puan Zuraini Kamal selaku Pengasas Cancer Survivors Malaysia (CSM), sebelum ini, iaitu kira-kira 10 tahun lepas, belum terdapat kumpulan sokongan yang khusus kepada pesakit kanser dan beliau menubuhkan SCM dalam usaha memberi sokongan kepada pesakit kanser di Malaysia. Beliau turut mencadangkan tabung kebajikan pesakit diwujudkan bagi membantu pesakit kanser meneruskan rawatan.
Sementara itu, Dr. Hasriza Hasim, iaitu Ketua Jabatan Perubatan Paliatif dan Rawatan Sokongan, IKN berkata perkhidmatan sokongan kepada pesakit kanser meliputi penjagaan paliatif.
Penjagaan paliatif ialah pendekatan melalui rawatan holistik untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit yang menghidap penyakit yang mengancam nyawa seperti kanser. Di Malaysia, terdapat kira-kira 13 buah hospital kerajaan, 39 buah klinik kesihatan dan 30 pasukan Persatuan Hospis yang menyediakan perkhidmatan paliatif.
Menurut Datuk Dr. Kuljit Singh, iaitu Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, saringan awal kanser boleh dilakukan di hospital swasta dengan kadar yang berpatutan. Beliau turut berkongsi maklumat bahawa sesetengah hospital swasta juga mempunyai memorandum persefahaman dengan hospital kerajaan dalam memberikan rawatan kepada pesakit kanser.
Puan Chan Li Jin @ Ahaddaniah, iaitu Pengarah Eksekutif PhAMA, membincangkan berkenaan kos rawatan kanser. Beliau memaklumkan bahawa masyarakat perlu menilai serta menjangkakan risiko sesuatu penyakit ke atas diri masing-masing. Saringan awal juga boleh membantu mengurangkan kos kewangan yang jauh lebih murah berbanding dengan kos rawatan.
Forum yang dimudahcarakan oleh Prof. Dr. Mazanah Muhamad, Pengerusi Persatuan Kanser (KanWork) mencadangkan bahawa forum seperti ini perlu diadakan secara berkala.
“Melalui forum seperti ini, masyarakat boleh mengetahui berkaitan penyakit kanser dengan lebih mendalam dan membolehkan cabaran yang dihidapi oleh pesakit kanser dapat dibincangkan dan diselesaikan”, tambahnya lagi.