Diterbitkan pada 16 Februari 2022, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beseri – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa usaha penanaman pohon bakau hendaklah dikekalkan malah dipergiat terutamanya di persisiran pantai negeri Perlis.

Dalam titahnya juga, baginda menekankan selain mencegah hakisan pantai, penanaman pokok bakau juga penting dalam menjaga keseimbangan ekosistem di persisiran pantai.

“Pokok bakau berperanan dalam membekalkan nutrien kepada tumbuhan dan menjadi sumber makanan kepada hidupan akuatik. Hal ini menjadikan kawasan hutan bakau menjadi aset penting kepada para nelayan, khususnya di Perlis,” titah baginda.

Di Malaysia, keluasan hutan paya bakau laut dianggarkan lebih kurang 117 786 hektar yang menjadi habitat utama pokok bakau. Sementara itu, di Perlis sendiri, terdapat beberapa kawasan hutan paya bakau yang boleh dijadikan sebagai pusat pembelajaran serta penyelidikan dan pusat pembiakan hidupan marin semula jadi selain menjadi tarikan ekopelancongan, terutamanya di pesisir pantai Kuala Perlis hingga ke Sanglang.

Dalam usaha itu, baginda mengingatkan supaya usaha pemuliharaan dan penyelenggaraan tanaman pokok bakau giat dilakukan serta memastikan spesies pokok yang ditanam bersesuaian. Baginda juga menekankan bahawa sebarang penerokaan kawasan pokok bakau secara berleluasa dan tidak terkawal akan menjadikan ekosistem paya bakau terancam dan menyebabkan kemusnahan.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan simbolik perasmian perniagaan Bakery Roti.

Titah DYTM Raja Muda Perlis ini disampaikan selepas baginda berkenan menyertai Program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-12 bagi Tahun 2022 dan menyempurnakan simbolik perasmian perniagaan Bakery Roti yang diusahakan oleh Encik Mohamad Izar Mohamad Zain dan isteri di Batu 12, Jalan Kaki Bukit. Encik Mohamad Izar Mohamad Zain sebelum itu menerima peruntukan sumbangan sosioekonomi asnaf bernilai RM2800 untuk membeli peralatan bengkel masakan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).

Dalam program kayuhan tersebut juga, baginda berkenan meninjau perusahaan telur itik premium di Kampung Bilal Udoh dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs dalam bentuk wang tunai sebanyak RM700, beras dan bekalan makanan mentah kepada tiga orang asnaf terpilih, iaitu Sepiah Sulaiman, 78 tahun; Supiah Noh, 67 tahun; dan Noorzarina Darus, 52 tahun.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi