8 Februari 2022, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Kuala Lumpur – Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan impak kepada pelbagai pihak. Trend kehidupan masyarakat pintar peranti yang terlalu bergantung pada teknologi ini semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi kesan buruk kepada kanak-kanak termasuklah lambat dalam percakapan. Tanpa disedari atau pun isu ini diambil ringan, gejala kanak-kanak lambat bercakap diberikan perhatian cukup penting oleh pakar kanak-kanak di seluruh negara.

Hal ini dikongsi bersama oleh Dr. Hairin Anisa Tajudin, pakar pediatrik dan pensyarah di Universiti Monash Malaysia dalam Slot Korensponden Bernama TV bersama-sama penyampai Fadzly Fuad yang telah membincangkan tajuk “Gejala Kanak-kanak Lambat Bercakap Membimbangkan” semalam.

Tambah beliau, PKP bukan sahaja merencat aktiviti ekonomi tetapi juga telah menjejaskan perkembangan minda kanak-kanak akibat sikap sambil lewa ibu bapa yang bergantung sepenuhnya kepada gajet untuk mententeramkan mereka. Ruang masa yang berlebihan oleh kanak-kanak kepada gajet telah menyebabkan otak kanak-kanak tidak berkembang dengan baik dan sukar memberikan tumpuan kepada perkara sekeliling.

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Toronto, Kanada selama empat tahun bermula tahun 2011 hingga tahun 2015, secara purata kanak-kanak menggunakan gajet selama 28 minit dan boleh mencapai hingga 30 minit sehari. Tanpa disedari, 49 peratus kanak-kanak ini berdepan dengan atau mengalami keadaan lambat bercakap (expressive speech delay). Kanak-kanak yang mengalami gejala ini lazimnya tidak boleh meluahkan apa yang mereka fahami. Hal ini sudah pasti akan memberikan kesan buruk kepada perkembangan pertuturan apabila tidak diberikan rawatan.

Pada masa yang sama, Dr. Hairin Anisa Tajudin menegaskan bahawa terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada keadaan lambat bercakap seperti masalah pendengaran atau kecacatan yang dialami sejak bayi lagi seperti kekurangan oksigen, gangguan sindrom atau penyakit kronik.

Dr. Hairin Anisa Tajudin ketika bersiaran secara langsung.

“Kebanyakan ibu bapa tidak mengambil serius berkaitan gangguan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak seperti autisme dan masalah tingkah laku. Keadaan lidah terikat atau tongue tie juga menjadi punca kepada kepada keadaan lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak”, ujar beliau.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang mengalami gejala kanak-kanak lambat bercakap dapat dipulihkan secara berperingkat. Ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak. Ujian pendengaran, rawatan terapi, ujian deria dan pengesanan penyakit autisme akan dilakukan bagi mengenal pasti punca dan jenis rawatan bersesuaian.

Beliau berpesan agar ibu bapa memberikan ruang masa untuk berkomunikasi dan bertutur dengan kanak-kanak secara konsisten. Ibu bapa juga disarankan untuk mengelak daripada menggunakan perkataan pelat. Stimulasi kepada kanak-kanak juga penting untuk merangsang mereka bertutur. Sebagai contohnya, penggunaan soalan seperti “apa itu mata?” lebih tepat berbanding “yang mana mata?”. Hal ini penting untuk merangsang kanak-kanak menyebut perkataan mata berbanding menunjukkan mata.

“Ibu bapa hendaklah kerap berbicara dengan kanak-kanak. Dengan cara ini, mereka dapat dilatih untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan. Tidak memberikan gajet kepada kanak-kanak yang lambat bercakap adalah tindakan yang amat perlu dan mesti dipatuhi dengan disiplin yang tinggi sekiranya kita mahu memulihkan kanak-kanak ini,“ tegasnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.