Diterbitkan pada 31 Januari 2022, 10:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia pada tahun ini sekali lagi menyertai usaha komuniti global untuk membanteras Penyakit Tropika Terabai (NTD) Sedunia dan membebaskan generasi akan datang daripada penyakit kemiskinan. Hari NTD di seluruh dunia disambut pada 30 Januari sejak tahun 2020. Sambutan kali ketiga ini bertemakan 100% Committed  bertujuan menyeru para pemimpin peringkat global menunjukkan solidariti dan 100 peratus komitmen mendokong sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi menghapuskan NTD di 100 buah negara menjelang tahun 2030.

NTD merangkumi kumpulan 20 jenis penyakit jangkitan tropika yang disebabkan oleh pelbagai patogen seperti denggi, demam Chikungunya, penyakit Chagas, rabies dan lain-lain lagi.

Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Kesihatan Malaysia melalui siaran media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam, fokus utama Malaysia adalah untuk memerangi denggi, iaitu penyakit jangkitan virus bawaan nyamuk.

Pada tahun 2021, Malaysia telah berjaya mengurangkan kes denggi daripada 90 304 kes pada tahun 2020 kepada 26 365 kes, iaitu dengan penurunan sebanyak 70.8 peratus walaupun perubahan iklim yang memberi kesan dalam transmisi penyakit ini. Oleh itu, Malaysia bertekad untuk meneruskan trajektori ini dengan meningkatkan kesediaan menangani denggi dalam usaha mencapai Sustainable Development Goal yang seterusnya mengakhiri epidemik ini menjelang tahun 2030.

Dianggarkan seramai 1.7 bilion pesakit menderita penyakit NTD di seluruh dunia. NTD mampu melemahkan, menjejaskan fizikal dan boleh menyebabkan kematian yang seterusnya memberi kesan terhadap kualiti kehidupan seharian dan menghalang perkembangan kognitif dan fizikal mereka yang menghidapinya.

Pintasan Saloma dilimpahi cahaya sebagai tanda sokongan kepada kempen bagi mengakhiri NTD.

 

Menara Kuala Lumpur bercahaya sebagai tanda solidariti menyokong usaha memerangi NTD.

KKM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Menara KL dan Drug for Negelected Diseases Initiative turut menyalakan struktur ikonik negara seperti Menara Kuala Lumpur dan Pintasan Saloma pada 30 Januari 2022 bermula pukul 7.00 malam sebagai soladiriti bersama-sama gerakan NTD di seluruh dunia. KKM berharap agar sambutan NTD ini akan menjadi pemangkin kepada usaha mengakhiri NTD di seluruh dunia.

(Sumber foto: Facebook KKM)

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi