8 Mei 2021, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cuaca panas terik sepanjang hari membuatkan kita cepat merasa dahaga. Terlintas di fikiran pada ketika itu alangkah leganya jika dapat meneguk air sejuk yang penuh dengan ketulan ais.

Bagi orang yang berpuasa, minuman manis berserta ais dengan perisa tertentu menjadi pilihan untuk menghilangkan kehausan.

Persoalannya, adakah minum ais secara berlebihan ini boleh memudaratkan kesihatan?

Ada yang percaya bahawa minuman ais akan menyebabkan tubuh menjadi tidak bermaya, lesu, semput, sakit-sakit, perjalanan darah terganggu, darah haid keluar berketul-ketul dan melemahkan sistem imun.

Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) dan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sehingga kini tiada kajian klinikal yang menunjukkan minuman ais boleh melemahkan sistem imuniti badan atau membekukan darah.

Beliau yang juga seorang pensyarah dietetik menjelaskan bahawa dalam perubatan moden, tiada bukti saintifik atau kajian berkaitan dengan risiko minum air sejuk kepada tubuh untuk mereka yang ada masalah kesihatan seperti selepas bersalin atau pembedahan.

Beliau menjelaskan, hanya ada dua kajian yang menunjukkan kesan buruk minuman ais kosong kepada status kesihatan. Kajian di China pada 2012, mendapati minuman ais bagi pesakit mengalami achalasia, iaitu keadaan menyebabkan saluran bawah esofagus (saluran menelan) yang tertutup dan makanan tidak boleh masuk ke perut. Apabila diberi minuman panas, makanan lebih mudah ditelan berbanding dengan minum minuman ais.

Satu lagi, kajian di Sweden pada 2001 mendapati minuman ais menggunakan straw boleh menyebabkan sakit kepala bagi mereka yang ada migrain berbanding dengan mereka yang tiada mengalaminya.

Dr. Barakatun Nisak berkata, minum air banyak termasuklah yang mengandungi ais tidak kira keadaan cuaca atau suhu dapat membantu mengekalkan suhu badan, membuang toksik, memudahkan penghadaman dan mengurangkan risiko sembelit.

Sebenarnya yang menjadi punca minuman sejuk atau disajikan bersama ketulan ais lebih berisiko adalah apabila campuran gulanya terlalu tinggi hingga menjejaskan kesihatan. “Lazimnya tanpa disedari, ramai individu yang mengambil lebih daripada lima sudu gula sama ada melalui minuman dan makanan atau gula tersembunyi”.

Menurut beliau, “Pengambilan gula ringkas yang berlebihan dalam diet seharian boleh mengakibatkan kenaikan berat badan sehingga menyebabkan obesiti. Obesiti boleh melemahkan sistem imun badan. Kesan kepada masalah itu, seseorang boleh mengalami penyakit sendi akibat beban berat berlebihan”.

“Kesan kenaikan berat berlebihan disebabkan minuman ais yang manis dan diambil secara kerap boleh menyebabkan diabetes. Antara tanda diabetes adalah cepat letih dan lesu,” katanya.

Apapun keadaan, beliau yang juga Ahli Majlis Persatuan Dietitian Malaysia, menasihati masyarakat agar mempraktikkan minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari yang bersamaan dengan 1.5 hingga dua liter.

“Air putih bukan saja kosong kalori tetapi tidak memudaratkan kerana ais kosong diminum yang memasuki saluran pencernaan, suhunya berubah mengikut suhu badan. Yang paling penting, masyarakat perlu minum enam hingga lapan gelas air kosong sehari,” katanya.

Dr. Barakatun Nisak berkata, bagi mereka yang melakukan aktiviti senaman dan terdedah dengan cuaca panas dan berada dalam persekitaran berhawa dingin, amat disyorkan untuk memastikan pengambilan air mencapai saranan ditetapkan.

Mereka juga disarankan mengambil cecair daripada sumber bukan air kosong seperti jus buah (tanpa gula), sup (rendah lemak dan garam), buah tembikai, timun dan sebagainya.

Ia akan menyumbang kepada keperluan cecair tubuh hingga 20 peratus. Sebaiknya kurangkan minuman berkafein seperti kopi, teh, minuman kola, minuman manis dan makanan masin.

“Ini akan menyebabkan kerap membuang air dan boleh mengganggu hidrasi tubuh.

“Dalam badan, 60 hingga 70 peratus adalah air tetapi ramai yang cenderung minum minuman bergula, sedangkan air suam atau air kosong lebih memberi kesegaran dan tubuh memerlukan gantian air dengan cekap,” katanya.

Beliau berkata, minuman tinggi gula, koko dan berkafein akan menyebabkan seseorang kerap membuang air antara dua hingga empat jam selepas meminumnya dan lebih cepat berlaku dehidrasi di samping cuaca panas di negara beriklim tropika.

Pautan: https://www.bharian.com.my/hujung-minggu/sihat/2021/04/807975/minum-ais-penyebab-badan-lesu

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.