6 Mei 2021, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

JOHOR BAHRU – Berikutan penggunaan tanah yang hampir mencapai maksimum, tapak pelupusan sampah di Pekan Nanas, Pontian dan Jemaluang, Mersing yang menjangkau lebih 25 tahun dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh tiga tahun lagi.

Cairul Hisham Jalaluddin, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor berkata, pelbagai langkah dilaksanakan bagi memanjangkan jangka hayat dan mengurangkan penggunaan tanah di kedua-dua tapak berkenaan termasuklah membangunkan kemudahan baharu yang dapat menukar sisa buangan kepada tenaga.

“Dua tapak pelupusan sampah tersebut belum mencapai tahap kritikal dan masih boleh diuruskan dengan baik. Manakala jangka hayat bagi dua tapak pelupusan sampah berkenaan dijangka mampu bertahan hingga tahun 2024. SWCorp juga sedang rancak melaksanakan Kempen Pengasingan Sisa Di Punca (SAS) yang merupakan antara kaedah mengurangkan sisa pepejal yang dijanakan di rumah berbanding dihantar terus ke tapak pelupusan,” ujar Cairul Hisham.

Menurut Cairul, Johor mempunyai lapan tapak pelupusan sampah iaitu Pekan Nanas, Jemaluang, Batu Empat, Buloh Kasap, Moakil, Seelong, Tanjung Langsat dan Bandar Penawar.

Manakala tapak pelupusan sampah baharu di Bukit Payung, Batu Pahat yang dibina di tanah seluas 42.18 hektar dijangka beroperasi menjelang suku ketiga tahun ini dan SWCorp merancang untuk membuka dua lagi pusat pemindahan sampah di Pontian dan Muar.

Purata kutipan sisa pepejal oleh SWCorp sepanjang perayaan Aidilfitri pada tahun lepas adalah sebanyak 2472 tan metrik sehari berbanding 2642 tan metrik pada tahun 2019 dengan pembuangan sisa makanan menjadi penyumbang terbesar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.