1 April 2021, 08:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Sumber: LEGO

Set LEGO NASA Space Shuttle Discovery yang membawa keajaiban penerokaan ruang angkasa telah dilancarkan pada 22 Mac 2021. Pelancaran set tersebut adalah sebagai penghormatan bersempena dengan ulang tahun ke-40 penerbangan Space Shuttle Discovery yang membawa Teleskop Hubble yang pertama pada 12 April 1981. Perjalanan tersebut merupakan detik perintis dalam sejarah angkasa lepas.

Set LEGO NASA Space Shuttle Discovery termasuk Teleskop Hubble terdiri daripada 2354 keping lego, lengkap dengan gear pendaratan berfungsi, dan pintu bay muatan yang terbuka satu demi satu. Pintu juga dilengkapi pelekat reflektif untuk meniru radiator penyejuk yang terdapat pada orbit ulang-alik sebenar. Peminat LEGO boleh melayari lego.com/gobeyond untuk menonton wawancara dengan mantan Angkasawan NASA Dr. Kathy Sullivan, mendapatkan maklumat lanjut mengenai LEGO NASA Space Shuttle Discovery dan mengakses beberapa alat pembelajaran secara dalam talian yang hebat daripada LEGO Education.

Menurut Milan Madge, Pereka bentuk Set LEGO, Space Shuttle Discovery ialah kenderaan paling rumit dan mencabar tetapi menarik yang pernah dibuatnya. “Saya perlu membuat bahagian luaran Space Shuttle Discovery yang halus dan dalamannya yang mampu menahan muatan. Saya juga perlu menambahkan gear pendaratan yang berfungsi. Bahagian ini yang paling mencabar daripada model ini. Saya cuba memasangkan gear pendaratan depan dan utama tanpa mengeluarkan ruang muatan dan tanpa menjejaskan struktur model. Bahagian kegemaran saya ialah tempat duduk kecil yang berwarna biru yang membawa lima individu jauh dari planet asal mereka dalam misi yang membolehkan kita menemukan alam semesta yang belum pernah dilihat sebelumnya! Setelah selesai, set ini juga dilengkapi stan dan plak maklumat yang membolehkan anda memaparkan ciptaan anda dengan penuh rasa bangga.”

LEGO bergabung dengan Dr. Kathy Sullivan untuk mendedahkan perincian pengalaman beliau dalam misi NASA STS-31 yang asal dan membandingkannya dengan model LEGO yang lebih terperinci mengenai kapal angkasa dan Teleskop Hubble yang terkenal. Dalam wawancara yang menarik itu, Dr. Sullivan mendedahkan perincian misi beliau yang luar biasa yang melancarkan Teleskop Angkasa Hubble ke kosmos.

Misi Dr. Sullivan membolehkan NASA dan saintis di seluruh dunia meneroka lebih banyak alam semesta berbanding dengan sebelum ini. Wawancara itu juga merangkumi pemikiran Dr. Sullivan yang memberikan dorongan kepada golongan muda untuk menceburi kerjaya dalam bidang STEM dan penerokaan angkasa lepas.

Mengulas set Space Shuttle Discovery, Dr. Sullivan mengatakan bahawa “Saya amat gembira melihat pesawat ulang-alik dalam bentuk LEGO, dan sangat terkesan dengan jumlah detail yang berjaya dibuat oleh pereka bentuk LEGO. Mereka berjaya membuat modul yang kami (angkasawan) biasa tidur dan makan melalui “gerai susu” di Teleskop Hubble. Melihat modelnya, saya terkenangkan pengalaman saya dalam ruang teleskop untuk pertama kali. Hubble sememangnya menjadi puncak kerjaya saya. Model LEGO ini adalah cara yang baik untuk pembangun LEGO dan peminat pengembaraan angkasa lepas mempelajari lebih banyak mengenai misi angkasa lepas yang terkenal dengan cara yang menyeronokkan dan menarik.”

Dr. Sullivan juga memberikan pandangan pakar beliau tentang masa depan penerokaan ruang angkasa kepada LEGO. Menurut beliau, “Halangan terbesar untuk pelancongan angkasa dalam tempoh 30 tahun akan datang ialah elemen keselamatan dan biaya. Jika kita dapat menerobos masalah ini, masyarakat umum berupaya mengembara ke angkasa lepas pada masa depan.”

Dr. Kathy Sullivan.

Set LEGO NASA Space Shuttle Discovery boleh didapati di kedai LEGO yang sah dan di LEGOLAND mulai 1 April 2021 dengan harga RM799.90

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.