Diterbitkan pada 23 September 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah menerbitkan sebuah buku mewah bertajuk Birds of Perlis State Park @Wang Kelian, Perlis sempena Sambutan Hari Ulang tahun Keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-80, baru-baru ini.

Turut dicetak sebuku A Photographic Guide Book – Birds Of Perlis State Park. Buku ini merekodkan 196 spesies burung yang terdapat dalam inventori burung di lima kawasan Hutan Simpanan Kekal di sekitar Perlis, iaitu Hutan Simpan Mata Ayer, Hutan Simpan Wang Mu, Hutan Simpan Bukit Bintang, Hutan Simpan Kurong Batang dan Hutan Simpan Bukit Papan.

Penyerahan buku terbitan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) kepada DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Inventori burung ini penting untuk mengetahui status semasa dan maklumat kepelbagaian biologi di Taman Negeri Perlis, sekaligus menjadi data asas yang berguna sebagai rujukan untuk masa hadapan.

Malah, melalui inventori ini, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis boleh mendapatkan maklumat untuk menjadikan pemerhatian burung sebagai produk pelancongan baharu bagi Negeri Perlis yang dikenali sebagai ‘Avitourism’.

Kesemua maklumat ini telah dipersembahmaklumkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu sesi mengadap oleh Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni di Galeri Diraja Arau.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap usaha sebegini diteruskan dalam melestarikan habitat, lalu mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2024-2025

Baginda berharap agar penerbitan buku-buku sebegini dapat diteruskan dan memantapkan lagi rekod yang ada, seterusnya membantu mempromosikan Taman Negeri Perlis di Wang Kelian sebagai habitat terbaik bagi burung-burung yang jarang ditemui.

Malahan, khususnya dalam tempoh kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan datang dan pada masa yang sama dapat meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan hutan batu kapur di sini yang unik supaya dapat dimanfaatkan oleh penduduk setempat dan juga para pengunjung secara lestari.

Turut hadir sama Timbalan Pengarah Perhutanan Negeri, Fadhilah Mohamad; Presiden Persatuan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) Sulaiman Salikan; dan Ahli Jawatankuasa NEST, Shaiful Azhar Abu Bakar di Galeri Diraja Arau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi