15 November 2022, 10:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Kangar – “Penghidap diabetes perlu mempunyai pengetahuan yang tepat mengenai penyakit diabetes agar mereka dapat menguruskan keadaan mereka dengan baik serta mengelakkan berlakunya komplikasi seperti penyakit jantung, buta dan kerosakan buah pinggang.”

Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli Khas bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri yang diadakan di Masjid Jamek, Kampung Binjal, Utan Aji, petang semalam.

Sambutan Hari Diabetes Sedunia diadakan pada 14 November setiap tahun. Pada tahun ini, sambutan Hari Diabetes Sedunia bertemakan “Akses kepada Pendidikan Diabetes” yang merupakan kesinambungan daripada tema beberapa tahun kebelakangan ini yang menjurus kepada penjagaan terhadap penghidap diabetes.

Akses kepada rawatan ubat-ubatan, sokongan psikososial, pemantauan kendiri seperti pemantauan gula dalam darah serta akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal amat penting dalam memastikan penghidap diabetes mampu menjalani kehidupan yang berkualiti.

Dalam program yang sama, DYTM Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih, masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid yang sama untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Sharizan Abu.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf terpilih melalui amilnya, Encik Sharizan Abu.

Untuk rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan sebanyak 3.9 juta orang penduduk Malaysia (18.3 peratus) yang berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit diabetes. Data ini menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding dengan 11.2 peratus pada tahun 2011 dan 13.4 peratus pada tahun 2015. Daripada jumlah ini, dianggarkan satu daripada dua orang pesakit (50.0 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit diabetes sehinggalah saringan gula dalam darah dilakukan.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!