Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangChuping – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis pelancaran Program Kesihatan Komuniti yang dianjurkan oleh Institut Jantung Negara (IJN) di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping, petang semalam.
Program yang dijalankan selama dua hari ini, iaitu pada 7 Oktober 2022 di Masjid Nurul Huda dan 8 Oktober 2022 di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis memberikan manfaat dan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk yang hadir dalam program berkenaan.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif IJN, YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim, Ketua Jabatan Pembedahan Jantung IJN, YBrs. Profesor Dr. Alwi Mohamed Yunus dan Pakar Bius, YBhg. Dato’ Dr. Syed Abdul Aziz Syed Zin Benyahya.

Menurut YBhg. Datuk Dr. Aizai Azan, pihak IJN membawa sebanyak 25 orang pakar perunding berserta para sukarelawan IJN ke Perlis untuk memberikan kaunseling kesihatan kepada penduduk setempat dan menyediakan surat rujukan ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan susulan bagi individu yang memerlukan.
Tambah beliau lagi, IJN juga membawa perkhidmatan khas untuk kanak-kanak, iaitu penilaian am dari kepala hingga kaki, demonstrasi resusitasi kardiopulmonari (CPR) serta aktiviti kanak-kanak seperti mewarna dan teknik mencuci tangan.
Dalam program tersebut juga, DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM11 600 kepada 29 orang asnaf terpilih. Masing-masing menerima RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Nurul Huda untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Shafizan Salim bersempena dengan Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-20 bagi tahun 2022.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ismuni Bohari, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.