Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Sustainable Polymer Materials Research Interest Group (SuPMa) hari ini menganjurkan Majlis Perasmian Rubberize Walkway yang menggunakan HEALO di Perkarangan Makmal Getah, UiTM Cawangan Perlis.
Majlis perasmian ini telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi bersama-sama Pengarah NT Rubber-Seals Sdn. Bhd., Encik Katsutoyo Itoi.
HEALO adalah lantai getah yang diperbuat daripada sisa getah monomer diena etilena propilena (EPDM) dan getah asli. Lantai ini adalah produk inovasi yang dapat melindungi alam sekitar dan memperkayakan sumber semula jadi.
Atas rasa tanggungjawab dan kesedaran untuk menjadikan planet ini sebagai tempat yang lebih baik kepada generasi akan datang, pihak NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. berbesar hati menyumbangkan sisa EPDM yang merupakan bahan utama bagi projek inovasi ini.
Kombinasi bahan dan formula yang unik menghasilkan HEALO dengan sifat yang lasak, kuat, daya tahan dengan penambahan sifat boleh diperbaik semula dengan bantuan haba. Hal ini memberikan kelebihan dalam memanjangkan servis penggunaan dan tentunya membantu dalam mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan planet.
Antara yang turut hadir dalam majlis ini ialah delegasi dari NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. termasuklah Jabatan Sumber Manusia dan Pengurusan Am, Siti Hasmadiana Abdul Samat; Penolong Pegawai Keselamatan dan Persekitaran, Encik Jaafar Seleman Muhammad Zaim Zakaria; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Perlis, Dr. Zuliahani Ahmad; dan beberapa orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis.
Selepas majlis tersebut, delegasi dari NT Rubber-Seals Sdn. Bhd. turut dibawa melawat bengkel getah dan plastik bagi program Teknologi Polimer di UiTM Cawangan Perlis.
Melalui penganjuran majlis ini, diharapkan hubungan antara pihak universiti dengan pemain industri dapat terus diperkukuh dan mampu membuka ruang untuk pelbagai bentuk kerjasama yang lebih baik pada masa akan datang.