Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Lawatan akademik ke Control Systems and Robotics Laboratory (CSRL), Hellenic Mediterranean University (HMU) membuka peluang kerjasama penyelidikan dalam bidang robotik, mekatronik, sistem kawalan pintar dan pembangunan bahan polimer berteknologi tinggi antara penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Utara Malaysia dengan institusi berkenaan.
Dalam sesi lawatan itu, delegasi berpeluang mengikuti pembentangan ringkas mengenai fungsi dan hala tuju penyelidikan makmal sebelum menyaksikan demonstrasi pelbagai teknologi yang sedang dibangunkan.
Antaranya termasuklah tangan robotik berketepatan tinggi, robot bioinspirasi, teknologi automasi, sistem penglihatan mesin serta penyelidikan berkaitan dengan bahan polimer yang berpotensi diaplikasikan dalam pelbagai sektor industri.
CSRL merupakan makmal penyelidikan antara disiplin yang memberikan tumpuan kepada robotik pintar, biomimetik, robot bawah air, automasi dan mekatronik.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, YBrs. Dr. Wan Mohd Muhiyuddin Wan Ibrahim berkata, lawatan tersebut memberikan inspirasi baharu kepada penyelidikan rentas disiplin yang menggabungkan geografi, kejuruteraan dan teknologi robotik.
Katanya,
Yang paling menarik perhatian saya ialah pembangunan robot bioinspirasi yang meniru pergerakan hidupan marin.
Beliau membayangkan teknologi ini boleh dipertingkatkan dengan pemasangan kamera beresolusi tinggi serta sistem kawalan kedalaman automatik yang membolehkan robot mengikuti perubahan kedalaman akuatik untuk tujuan pemantauan alam sekitar dan pemetaan dasar laut.


Sementara itu, penyelidik pascakedoktoran USM, YBrs. Dr. Syamsul Azlan Saleh menyifatkan pengalaman tersebut sebagai peluang berharga untuk memahami aplikasi kejuruteraan dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Ujarnya,
Walaupun bidang kepakaran saya berbeza, lawatan ini membuka perspektif baharu tentang cara prinsip kejuruteraan diaplikasikan dalam pembangunan robotik, automasi dan sistem pintar, sekali gus ilmu seperti ini amat bernilai untuk membina penyelidikan yang lebih inovatif pada masa hadapan.
Selain teknologi robotik, delegasi turut diperkenalkan kepada proses pembangunan bahan polimer dan penghasilan filem polimer yang mempunyai potensi besar dalam industri pembuatan, pembungkusan, elektronik serta aplikasi kejuruteraan moden.


Demonstrasi tersebut memperlihatkan cara penyelidikan asas mampu diterjemahkan kepada produk berimpak tinggi untuk kegunaan industri.
Lawatan ilmiah ini turut membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama penyelidikan antara HMU dengan universiti di Malaysia, khususnya dalam bidang robotik bawah air, biomimetik, automasi, teknologi polimer, kecerdasan buatan dan pemantauan alam sekitar marin.
Kolaborasi seumpama ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem penyelidikan antarabangsa serta melahirkan inovasi yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan industri.