Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Teknologi angkasa kini berkembang sebagai infrastruktur strategik yang menyokong pelbagai aspek kehidupan moden termasuklah komunikasi, navigasi, ramalan cuaca, keselamatan negara dan pengurusan bencana, sekali gus menjadikan sektor itu penting untuk diberikan perhatian dalam pembangunan negara.
Demikian hal yang dikongsikan oleh Penguasa Angkasa, Bahagian Penguasa Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBrs. Ts. Dr. Mhd Fairos Asillam ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara menerusi saluran Bernama TV.

Menurut beliau, masyarakat perlu memahami bahawa teknologi angkasa bukan lagi sekadar berkaitan dengan roket, angkasawan atau penerokaan bulan, sebaliknya menjadi tulang belakang tidak kelihatan yang menyokong pelbagai perkhidmatan harian.
Kini, terdapat kira-kira 10 000 satelit yang berada di angkasa lepas dengan pelbagai fungsi, termasuklah menyokong sistem navigasi, perkhidmatan Internet di kawasan pedalaman, ketepatan masa bagi transaksi kewangan serta pemantauan bencana seperti banjir.
Teknologi satelit turut memainkan peranan penting dalam pemantauan bumi melalui satelit pencerapan yang membekalkan data berkaitan dengan perubahan alam sekitar, kesihatan tanaman, kawasan hutan dan aktiviti perikanan.
Katanya,
Kalau kita tidak mempunyai satelit pencerapan bumi, kita tidak dapat mengetahui keadaan hutan, kesihatan pokok kelapa sawit atau getah serta perubahan kawasan tertentu secara menyeluruh.
Beberapa negara kini telah mengiktiraf sektor angkasa sebagai infrastruktur kritikal sama seperti elektrik, air dan Internet kerana gangguan terhadap perkhidmatan satelit boleh memberikan kesan yang besar terhadap ekonomi, komunikasi dan keselamatan.
Dalam sesi temu bual itu, beliau memaklumkan bahawa Australia adalah antara negara yang telah mentakrifkan angkasa sebagai infrastruktur kritikal, manakala Amerika Syarikat turut memastikan pelbagai sektor bersedia menghadapi kemungkinan gangguan terhadap aset angkasa.
Kajian yang dijalankan oleh Agensi Angkasa Eropah menunjukkan gangguan terhadap satelit boleh menyebabkan kerugian berbilion dolar akibat gangguan kepada sektor perbankan, telekomunikasi dan perkhidmatan lain.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Malaysia kini mempunyai antara 13 hingga 14 satelit yang didaftarkan, dengan kebanyakannya dimiliki oleh MEASAT yang berada di orbit geopegun, iaitu kira-kira 36 000 kilometer dari bumi.
Jelasnya,
Orbit rendah bumi kini menjadi kawasan yang semakin sibuk dengan ribuan satelit beroperasi dan menyebabkan risiko pelanggaran dengan serpihan angkasa semakin meningkat.
Perkembangan sektor angkasa pada masa ini memasuki era baharu yang dikenali sebagai New Space apabila aktiviti angkasa tidak lagi hanya diterajui kerajaan, tetapi turut dipacu oleh sektor swasta, universiti dan syarikat teknologi.
Tambah beliau, perubahan teknologi turut menghasilkan satelit yang lebih kecil seperti CubeSat dan PicoSat yang mempunyai berat hanya sekitar satu kilogram berbanding dengan satelit terdahulu yang boleh mencapai satu tan.
Jelasnya, perbezaan utama New Space ialah fokusnya bukan semata-mata meneroka angkasa, tetapi menyediakan penyelesaian kepada masalah di bumi menerusi penggunaan data satelit.
Beliau memberikan contoh, syarikat perladangan boleh menggunakan imejan satelit untuk memantau kesihatan tanaman kelapa sawit dengan melihat perubahan kandungan klorofil pada daun, sekali gus membantu menentukan keperluan baja.
Malaysia perlu mengambil pendekatan strategik dalam ekonomi angkasa dengan memberikan tumpuan kepada bidang yang mempunyai kelebihan, termasuklah penggunaan data satelit, pembangunan aplikasi hiliran dan tadbir urus ekosistem angkasa.
Mengulas mengenai cabaran yang perlu diberikan perhatian, beliau menyatakan bahawa penyelarasan antara Bahagian Penguasa Angkasa dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia adalah penting bagi memastikan keselamatan ruang udara dan ruang angkasa, terutamanya apabila berlaku pelancaran roket atau kemasukan semula objek angkasa ke bumi.
Katanya,
Jika orang ramai menemukan objek yang tidak dikenal pasti, jangan sentuh kerana kita tidak tahu sama objek itu selamat atau mempunyai risiko tertentu dan segera hubungi Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Cuaca angkasa juga menjadi cabaran baharu apabila aktiviti matahari boleh memberikan kesan kepada satelit, sistem kedudukan global (GPS) dan pelbagai perkhidmatan berasaskan teknologi angkasa.
Menurutnya, letusan matahari yang menghala ke bumi boleh menghasilkan zarah beradiasi yang mengganggu operasi satelit serta menyebabkan ketepatan sistem navigasi berkurangan.
Sebelum mengakhiri sesi temu bual, beliau menegaskan bahawa kesedaran masyarakat terhadap kepentingan teknologi angkasa perlu dipertingkatkan kerana sektor itu bukan bertujuan untuk membawa manusia meninggalkan bumi, tetapi membantu menyelesaikan masalah di bumi serta memastikan kelestarian planet.