Diterbitkan pada 15 Julai 2026, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia Techlympics 2026 (MT2026) kembali memperkukuh pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi (STI) negara dengan memperkenalkan penggunaan platform pembelajaran pintar AiRIMAU yang memberikan pendedahan kepada teknologi Agentic Artificial Intelligence (Agentic AI), selain menawarkan 90 pertandingan melibatkan 182 modul STI bagi membentuk generasi muda berkemahiran teknologi masa hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Chang Lih Kang dalam satu kenyataan berkata, pembaharuan utama MT2026 ialah pengenalan AiRIMAU sebagai platform pembelajaran pintar yang membolehkan peserta meneroka teknologi Agentic AI melalui pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan praktikal.

Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memastikan generasi muda Malaysia memperoleh pendedahan awal terhadap teknologi masa hadapan serta membina keupayaan untuk memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kreatif dan beretika.

Memasuki edisi kelima sejak mula dilaksanakan pada tahun 2022, MT2026 menyasarkan penyertaan sebanyak 1.8 juta pelajar dan belia berusia enam tahun hingga 30 tahun melalui pertandingan berimpak tinggi, program jangkauan keterangkuman serta pelbagai aktiviti pendidikan dan latihan di luar bilik darjah di seluruh negara, selaras dengan aspirasi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.

Bagi memastikan pelaksanaan MT2026 lebih berkesan, penganjurannya digerakkan secara kolaboratif menerusi kerjasama pelbagai pihak, termasuklah Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, agensi kerajaan, rakan industri serta kerajaan negeri melalui barisan EXCO berkaitan.

Sebanyak 90 pertandingan yang merangkumi 182 modul STI ditawarkan pada tahun ini berbanding dengan 93 modul STI pada tahun 2025, meliputi bidang seperti tenaga baharu, dron, robotik, kejuruteraan, forensik, percetakan tiga dimensi, kecerdasan buatan, keselamatan siber, pengkomputeran awan, bioteknologi dan teknologi hijau.

Selain pertandingan, pelbagai program jangkauan keterangkuman turut dilaksanakan di sekolah luar bandar terpilih bagi memperkukuh ekosistem pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di kawasan berkenaan, sekali gus menyemarakkan minat pelajar dan belia terhadap bidang STI.

Komitmen terhadap keterangkuman turut diteruskan melalui pelibatan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi bagi memastikan peluang penyertaan dalam bidang STEM dapat dinikmati oleh semua golongan.

Pertandingan saringan MT2026 peringkat zon akan bermula di zon selatan yang berlangsung di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology, Johor, sebelum diteruskan ke zon tengah di Universiti Sains Islam Malaysia, zon timur di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, zon timur 2 di Universiti Malaysia Kelantan, zon utara di Kulim Hi-Tech Park, zon Sabah di Universiti Malaysia Sabah dan berakhir di zon Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak.

Siri pertandingan mengikut zon tersebut akan berlangsung dari Julai hingga September 2026, manakala acara Peringkat Akhir Kebangsaan Malaysia Techlympics 2026 dijadualkan berlangsung pada November 2026 di Malaysia Agro Exhibition Park Serdang (MAEPS), Serdang.

Melalui penganjuran MT2026, MOSTI terus komited memperluas pembudayaan dan literasi STI dalam kalangan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar, menerusi akses yang lebih meluas terhadap ilmu pengetahuan, teknologi dan inovasi bagi melahirkan generasi berdaya saing, inovatif serta celik teknologi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar melalui portal Malaysia Techlympics.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi