Diterbitkan pada 13 Julai 2026, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI), Fakulti Sains Kesihatan (FSK) telah menganjurkan Kolokium Latihan Industri KPKI 2026 sebagai platform penilaian kompetensi profesional pelajar bagi memastikan graduan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan memiliki pengetahuan, kemahiran serta kesiapsiagaan yang memenuhi keperluan industri.

Kolokium yang diadakan di Dewan Kuliah 3, FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur itu mengangkat tema “Menilai Pengalaman, Memperkasakan Profesionalisme” dan berfungsi sebagai platform penilaian akhir berstruktur bagi pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan selepas menamatkan latihan industri selama satu semester.

Sepanjang tempoh latihan industri, para pelajar telah ditempatkan di pelbagai organisasi terkemuka merangkumi sektor korporat, pembuatan, pembinaan dan penyelidikan perubatan, misalnya SD Guthrie Berhad, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), IJM Construction Berhad, Nestlé Batu Tiga dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia.

Menurut Ketua Program KPKI merangkap Penasihat Program, YBrs. Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin, kolokium tersebut merupakan medium penting untuk menilai bukan sahaja pencapaian akademik pelajar, malah tahap profesionalisme serta keupayaan mereka mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam persekitaran kerja sebenar.

Katanya,

Melalui kolokium ini, kita dapat mengukur keupayaan pelajar mengintegrasikan ilmu teori kesihatan persekitaran dan pekerjaan yang dipelajari di universiti untuk digunakan dalam situasi industri sebenar.

Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 64 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tahun 3 dan Tahun 4 serta dikendalikan oleh jawatankuasa yang diketuai oleh YBrs. Dr. Putri Anis Syahira Mohamad Jamil selaku Pengarah Program bersama-sama YBrs. Dr. Dayana Hazwani Mohd. Suadi Nata sebagai Timbalan Pengarah.

Sebanyak 36 pembentangan individu telah dinilai oleh lapan orang pensyarah KPKI dan empat wakil industri jemputan.

Setiap pelajar diberikan tempoh 15 minit yang merangkumi sesi pembentangan dan soal jawab, manakala keseluruhan proses penilaian dilaksanakan secara digital melalui imbasan kod QR bagi meningkatkan kecekapan pengurusan data akademik.

Para pelajar ketika menunggu giliran masing-masing untuk sesi pembentangan.

Bagi memastikan kualiti graduan memenuhi kehendak pasaran kerja, penilaian kolokium dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pengukuran kompetensi yang holistik berdasarkan standard latihan industri, meliputi keupayaan pelajar mengintegrasikan ilmu teori, kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah yang diperoleh sepanjang tempoh penempatan.

Sekitar berlangsungnya sesi pembentangan hasil pembelajaran dan refleksi kritikal pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan sepanjang satu semester menjalani latihan industri di pelbagai sektor.

Kolokium tersebut diakhiri dengan sesi penyampaian sijil penghargaan kepada panel wakil industri sebagai tanda penghargaan atas jalinan kerjasama strategik antara akademia dengan industri.

Sesi penyampaian sijil penghargaan kepada barisan panel penilai industri sebagai tanda apresiasi terhadap jalinan kerjasama strategik bersama-sama pihak universiti.

Program ini bukan sahaja meningkatkan kompetensi komunikasi dan keyakinan diri pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan, malah menjadi penanda aras dalam melahirkan graduan UKM yang dinamik, profesional dan relevan dengan keperluan industri semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi