Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCrete – Pensyarah dan penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) serta Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang memperkukuh kepakaran dalam pengurusan risiko bencana berasaskan teknologi digital menerusi penyertaan dalam DIGIHAZ Summer Camp 1, program antarabangsa yang berlangsung di Hellenic Mediterranean University (HMU), Heraklion, Crete, Greece.
Program yang dibiayai oleh Kesatuan Eropah menerusi EU-ASEAN Sustainable Connectivity Package for Higher Education (SCOPE-HE) itu menghimpunkan penyelidik muda, ahli akademik dan pakar daripada institusi pengajian tinggi di Eropah serta Asia Tenggara bagi memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam pengurusan bencana alam.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai kuliah, bengkel intensif dan sesi perkongsian ilmu yang memfokuskan penggunaan transformasi digital dalam pemantauan, ramalan serta mitigasi bencana seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan kebakaran hutan.
Antara institusi yang mengambil bahagian ialah University of Alicante, Sepanyol; University of West Attica, Greece; UUM, USM, Xavier University-Ateneo de Cagayan dan University of the Cordilleras, Filipina.
Selain sesi akademik, peserta turut mengadakan lawatan ke makmal penyelidikan bertaraf antarabangsa di HMU yang menempatkan pelbagai teknologi canggih seperti sistem robotik, penderiaan pintar, kecerdasan buatan (AI), Internet benda dan analitik data bagi menyokong penyelidikan berkaitan dengan bencana alam.

Lawatan itu memberikan peluang kepada peserta memahami cara teknologi moden dimanfaatkan untuk membangunkan sistem amaran awal, meningkatkan ketepatan ramalan bencana serta memperkukuh proses membuat keputusan dalam situasi kecemasan.

Program tersebut juga menyediakan platform kepada peserta pascasiswazah untuk membentangkan hasil penyelidikan masing-masing menerusi sesi khas PhD yang membuka ruang kepada pertukaran idea, pembinaan jaringan penyelidikan serta penerokaan peluang kolaborasi antarabangsa.

Puan Shah Fathin Syahirah Kamil dari UUM berkata, penyertaannya dalam program tersebut memberikan pengalaman yang amat berharga kerana beliau berpeluang mempelajari pendekatan terkini dalam pengurusan risiko bencana yang menggabungkan teknologi digital, analitik data dan AI.
Menurut beliau, program tersebut membuka perspektif baharu mengenai cara data satelit, penderiaan jauh, sistem maklumat geografi, pembelajaran mesin dan pemodelan bencana dapat digabungkan bagi meningkatkan ketepatan ramalan serta keberkesanan pengurusan risiko bencana.
Ujarnya,
Saya melihat teknologi bukan lagi sekadar alat sokongan, sebaliknya menjadi komponen utama dalam membantu pihak berkuasa membuat keputusan dengan lebih pantas dan tepat.
Tambahnya, antara ilmu yang paling memberikan impak termasuklah pendekatan membangunkan model ramalan banjir dan gempa bumi dengan menggunakan data cerapan daripada pelbagai sumber yang diproses melalui algoritma pembelajaran mesin bagi mengenal pasti corak perubahan serta tahap risiko sesuatu kawasan.
Katanya,
Kami didedahkan kepada teknik cerapan data yang lebih sistematik, termasuklah penggunaan penderia pintar, data meteorologi, imej satelit dan analisis spasial untuk membina model ramalan bencana yang membolehkan amaran awal diberikan dengan lebih cepat, sekali gus membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
Beliau berkata, sesi perkongsian bersama-sama pensyarah dan penyelidik prolifik dari Eropah turut memperlihatkan cara penyelidikan multidisiplin mampu menghasilkan penyelesaian yang lebih komprehensif terhadap cabaran perubahan iklim dan peningkatan kekerapan bencana alam.
Jelasnya,
Saya turut memperoleh pendedahan mengenai aplikasi pembelajaran mesin dalam mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, mengoptimumkan pengagihan bantuan semasa bencana serta meningkatkan ketepatan simulasi senario bencana yang amat relevan untuk digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan sistem pengurusan bencana di Malaysia.
DIGIHAZ Summer Camp 1 membuktikan bahawa kerjasama rentas negara memainkan peranan penting dalam mempercepat pemindahan ilmu, pembangunan teknologi dan inovasi bagi menghadapi cabaran bencana alam yang semakin kompleks akibat perubahan iklim global.
Melalui gabungan kepakaran akademik, penggunaan teknologi canggih dan jaringan penyelidikan antarabangsa, program tersebut menjadi platform strategik dalam melahirkan penyelidik yang berupaya membangunkan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi bagi meningkatkan daya tahan masyarakat terhadap risiko bencana pada masa hadapan.