Diterbitkan pada 12 Julai 2026, 15:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pendidikan kesihatan awam perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan gaya hidup masyarakat, bukan lagi sekadar bergantung pada risalah atau kempen konvensional.

Berlandaskan aspirasi tersebut, mahasiswa Program Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menganjurkan pameran “Dengue Exploration: Recognize, Prevent and Act” bagi memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman demam denggi.

Program yang berlangsung di Bilik Seminar, Aras 8, FSK 6, UiTM merupakan kemuncak kepada pelaksanaan projek lapangan mahasiswa yang sebelum ini telah dijalankan bersama komuniti setempat.

Pameran tersebut menjadi platform menterjemahkan dapatan penyelidikan, aktiviti lapangan dan inovasi mahasiswa kepada pendekatan pendidikan kesihatan yang lebih interaktif, praktikal serta mudah difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, pameran tersebut menampilkan empat teras utama yang menjadi fokus dalam usaha membanteras penyakit denggi, iaitu perubahan tingkah laku, inovasi teknologi, pengurusan alam sekitar serta penularan dan perlindungan.

Satu daripada kumpulan mahasiswa yang terlibat bersemangat menerangkan mekanisma penularan virus dan kitaran hidup nyamuk Aedes melalui replika diorama 3D interaktif kepada barisan penilai jemputan semasa Pameran Dengue Exploration.

Melalui komponen perubahan tingkah laku, mahasiswa menekankan kepentingan membudayakan amalan “Cari dan Musnah” sebagai rutin mingguan bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Pendekatan ini bertujuan membentuk kesedaran bahawa pencegahan bermula daripada tindakan individu dan komuniti sendiri.

Sementara itu, aspek inovasi teknologi memperlihatkan pelbagai idea kreatif mahasiswa termasuklah pembangunan aplikasi pintar dan sistem pelaporan masa nyata yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti, jawatankuasa Rukun Tetangga serta agensi berkaitan, bagi mempercepat tindakan terhadap lokasi berisiko.

Dalam aspek pengurusan alam sekitar pula, mahasiswa mengemukakan pelbagai penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan modifikasi fizikal persekitaran seperti penggunaan tanaman penghalau serangga, pembersihan sistem saliran serta pengurusan kawasan berpotensi menjadi habitat pembiakan nyamuk.

Barisan juri yang terdiri daripada pakar rentas agensi termasuklah wakil KKM, IBSD, dan COMBI sedang meneliti ketepatan fakta sains pada infografik kesihatan awam yang dibangunkan oleh mahasiswa.

Selain itu, tema penularan dan perlindungan memberikan tumpuan pada pemahaman saintifik mengenai cara virus denggi merebak serta kaedah perlindungan diri daripada gigitan nyamuk melalui penghasilan penghalau nyamuk (DIY Mosquito Repellent) dan amalan pencegahan yang berkesan.

Antara tarikan utama pameran ialah penghasilan model tiga dimensi (3D) penyakit denggi yang dibangunkan sendiri oleh mahasiswa. Pendekatan visual tersebut memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih menarik berbanding kaedah penyampaian secara konvensional.

Model berkenaan memaparkan secara terperinci keseluruhan kitaran hidup nyamuk Aedes bermula daripada telur, jentik-jentik, kepompong sehingga menjadi nyamuk dewasa lengkap dengan ciri fizikal belang hitam putih yang menjadi identiti spesies tersebut.

Selain itu, pengunjung turut didedahkan kepada replika habitat pembiakan nyamuk seperti tayar terpakai, pasu bunga dan sistem saliran yang tersumbat, sekali gus membantu masyarakat mengenal pasti kawasan berisiko di persekitaran mereka.

Bagi meningkatkan kefahaman terhadap proses jangkitan, model tersebut turut memvisualisasikan mekanisme penularan virus denggi daripada individu yang dijangkiti kepada individu lain melalui gigitan nyamuk Aedes, sekali gus memudahkan pengunjung memahami rantaian penyebaran penyakit secara saintifik.

Bagi memastikan kualiti dan ketepatan kandungan pameran, hasil kerja mahasiswa telah dinilai oleh panel profesional yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang melibatkan kementerian, institusi pengajian tinggi dan wakil komuniti.

Barisan penilai jemputan merakamkan gambar kenangan bersama mahasiswa Program Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (FSK UiTM) yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan pameran Dengue Exploration.

Antara penilai jemputan ialah Ketua Sustainable Technology, Institute of Biodiversity and Sustainable Development (IBSD), Prof. Madya Dr. Siti Aekbal Salleh,; Pensyarah Kanan IBSD, Dr. Muhammad Fuad Abdullah dan Pegawai Sains (Kaji Serangga),Unit Entomologi dan Pest, Dr. Ahmad Mohiddin Ngesom.

Turut terlibat Pengerusi COMBI Negeri Selangor, Tuan Nurol Asyikin Nadzir; Pengajar Program Kesihatan Persekitaran, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh, Ts. Mohd Hafiz Ab Rahman; Ketua Pusat Pengajian Dietetik, FSK UiTM, Dr. Mohd Ramadan Ab Hamid; Pensyarah Kanan Centre of Optometry FSK UiTM, Dr. Saiful Azlan Rosli,  serta Muhammad Syamsul Hazry Yahya daripada Fakulti Sains Kesihatan UiTM.

Kehadiran panel yang mewakili pelbagai disiplin itu mencerminkan bahawa usaha membanteras denggi memerlukan pendekatan rentas sektor yang menggabungkan kepakaran saintifik, pelibatan komuniti dan sokongan institusi pendidikan.

Pandangan serta cadangan yang diberikan oleh para penilai turut membantu mahasiswa memperkukuh modul intervensi dan strategi pendidikan kesihatan yang dibangunkan.

Penganjuran pameran ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai penuntut ilmu, malah mampu menjadi ejen perubahan dalam memperkasakan pendidikan kesihatan awam.

Melalui gabungan penyelidikan, inovasi dan pelibatan komuniti, program ini berjaya memperlihatkan bagaimana ilmu akademik dapat diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat dalam usaha mengekang penularan demam denggi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi