Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 10:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia dan Thailand terus mempergiat rundingan teknikal melalui saluran rasmi antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara bagi memperhalusi keperluan perdagangan siakap dan udang berlandaskan prinsip perdagangan yang adil, bukti saintifik serta pematuhan terhadap langkah sanitari dan fitosanitari, sekali gus membuka laluan kepada akses pasaran yang lebih seimbang.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, Ketua Pengarah Perikanan, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain menyatakan bahawa rundingan yang sedang berlangsung memberikan tumpuan kepada usaha memudah cara perdagangan tanpa menjejaskan aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan kesihatan haiwan akuatik.

Katanya,

Malaysia melihat proses tersebut sebagai penyelarasan teknikal antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara dan bukannya pertikaian perdagangan, sebaliknya berasaskan sains, pengurusan risiko serta kepentingan bersama bagi memastikan hubungan perdagangan perikanan terus berkembang secara adil, telus dan saling menguntungkan.

Bagi perdagangan udang, Malaysia telah melengkapkan penilaian awal terhadap maklumat yang dikemukakan oleh Thailand serta mengemukakan 35 soalan teknikal bagi mendapatkan penjelasan lanjut sebelum penilaian risiko dimuktamadkan.

Kedua-dua negara juga sedang memperhalusi beberapa keperluan import bagi perdagangan siakap yang meliputi aspek pensijilan, keselamatan makanan dan pengurusan risiko bagi memudah cara perdagangan.

Dalam rundingan tersebut, Malaysia turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh kerjasama teknikal termasuklah penyelarasan keperluan pensijilan, pengukuhan sistem kebolehkesanan, perkongsian data saintifik serta mekanisme pemeriksaan yang lebih berasaskan risiko.

Malaysia juga berharap pendekatan itu dapat membuka ruang kepada semakan semula keperluan pensampelan 100 peratus terhadap pengeksport siakap yang mempunyai rekod pematuhan yang baik, selain meneroka mekanisme seperti laluan hijau (green lane) bagi ladang yang memenuhi standard keselamatan makanan dan biosekuriti.

Isu sekatan import udang Malaysia ke Thailand yang berkuat kuasa sejak tahun 2017 diharapkan dapat diselesaikan melalui pendekatan teknikal yang sama bagi mewujudkan akses pasaran yang lebih seimbang kepada industri akuakultur kedua-dua negara.

Dalam kenyataan yang sama, YBhg. Dato’ Haji Adnan Hussain menyatakan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh Malaysia adalah berasaskan penilaian risiko saintifik dan piawaian antarabangsa.

Ujarnya,

Sebaik sahaja semua maklumat teknikal yang diperlukan diterima, proses penilaian akan dimuktamadkan dengan kadar segera bagi menyokong kelancaran perdagangan serta melindungi kepentingan industri akuakultur negara.

Jabatan Perikanan Malaysia akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi memperkukuh akses pasaran eksport, di samping membantu pengusaha meningkatkan pematuhan terhadap standard eksport, sistem kebolehkesanan dan amalan biosekuriti bagi memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Thailand merupakan antara pasaran utama eksport siakap Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM92.6 juta melibatkan 9286 tan metrik pada tahun 2024, manakala hingga tahun 2025 nilai perdagangan yang direkodkan berjumlah RM42.6 juta melibatkan 4320 tan metrik.

Malaysia yakin kerjasama erat antara pihak berkuasa kompeten kedua-dua negara akan terus memperkukuh hubungan perdagangan perikanan yang stabil, berasaskan risiko dan saling menguntungkan dalam jangka masa panjang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi