Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) terus memperkukuh peranannya sebagai penyelaras utama pengurusan bencana negara dengan menggerakkan pendekatan bersepadu bagi menghadapi fenomena cuaca panas dan kering.

Langkah rentas agensi itu melibatkan pelan tindakan komprehensif daripada tujuh entiti kerajaan yang merangkumi aspek keselamatan, sumber air dan kesihatan awam.

“Melalui penyelarasan bersepadu ini, NADMA berharap semua agensi yang berkaitan sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum dalam menghadapi sebarang risiko bencana akibat cuaca panas dan kering,” jelas agensi itu menerusi satu kenyataan di laman rasmi Facebooknya.

Infografik ringkas mengenai peranan setiap agensi kerajaan dalam menghadapi cuaca panas yang dikeluarkan oleh NADMA.

Sebagai peneraju, NADMA telah menyelaraskan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan membabitkan 10 siri dan 35 penerbangan bagi menstabilkan paras takungan air di empangan yang terjejas.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia bertindak mengaktifkan Sistem Ramalan Kebakaran Hutan untuk memantau risiko kebakaran dan tempoh cuaca tanpa hujan.

Bagi menjamin kelangsungan sumber air yang mencukupi, Jabatan Pengairan dan Saliran memantau aras empangan utama dan keadaan hidrologi negara secara berkala.

Dalam aspek keselamatan dan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempertingkatkan operasi dengan memberikan tumpuan khusus kepada 83 lokasi titik panas bagi mencegah kebakaran terbuka berskala besar.

Usaha kawalan kebakaran itu turut disokong oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia menerusi pengaktifan 21 buah telaga tiub di kawasan tanah gambut, di samping mengoptimumkan penggunaan 2214 buah telaga air bawah tanah di seluruh negara.

Menyentuh tentang kesejahteraan pelajar di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan garis panduan penangguhan aktiviti luar jika suhu melepasi 35 darjah Celsius serta penutupan sekolah sekiranya gelombang haba mencecah 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula bertanggungjawab dalam memastikan fasiliti perubatan sentiasa bersiap siaga menerusi pengaktifan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis bagi memantau risiko penyakit berkaitan dengan kelesuan haba.

NADMA akan terus memantau perkembangan situasi semasa, menyelaras tindakan rentas agensi serta memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Kredit Foto: Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi