Diterbitkan pada 7 Julai 2026, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Teknologi perubatan mampu menjadi medium berkesan untuk memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi pembelajaran berasaskan aplikasi dunia sebenar.

Program anjuran STEM Bootcamp oleh Boston Scientific Medical Device (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB), Universiti Sains Malaysia (USM) itu memberikan peluang kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah untuk meneroka aplikasi STEM dalam teknologi perubatan melalui pelbagai aktiviti interaktif yang menghubungkan konsep sains dengan situasi sebenar.

Dalam program tersebut, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon bersama-sama pasukan penyelidiknya mengendalikan modul STEM berasaskan teknologi perubatan yang memperkenalkan aplikasi konsep sains dalam pembangunan teknologi perubatan moden.

 

YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon dari PKTAAB, USM ketika memberikan penerangan mengenai modul STEM berasaskan teknologi perubatan kepada para peserta.
Pengarah Pengeluaran Boston Scientific Medical Device (Malaysia) Sdn. Bhd., Encik Ooi Cheong Yew berkongsikan pandangan mengenai keperluan industri terhadap bakat STEM, khususnya dalam bidang teknologi perubatan bagi memenuhi permintaan sektor peranti perubatan yang terus berkembang.

Pendekatan pembelajaran secara interaktif itu membolehkan para peserta memahami hubungan antara fizik, biologi dan kejuruteraan dalam menghasilkan inovasi yang menyokong penjagaan kesihatan.

Sepanjang program itu berlangsung, para peserta mengikuti pelbagai aktiviti amali, misalnya meneroka model jantung bercetak tiga dimensi bagi memahami struktur anatomi jantung dan fungsi sistem peredaran darah dengan lebih jelas.

Mereka turut menyertai simulasi penyempitan salur darah dan penggunaan teknologi sten bagi melancarkan aliran darah, sekali gus memahami cara prinsip fizik, biologi dan kejuruteraan digabungkan dalam pembangunan peranti perubatan yang digunakan di hospital.

Para peserta meneroka fungsi jantung melalui simulasi peredaran darah bagi memahami cara darah mengalir ke seluruh badan serta kesan penyempitan saluran darah akibat pembentukan plak terhadap kesihatan kardiovaskular.

Para peserta juga membina litar elektronik dengan menggunakan pita kuprum untuk mempelajari konsep elektronik yang menjadi komponen penting dalam pembangunan pelbagai peranti perubatan moden, selain mengasah kreativiti, pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Sesi membina litar elektronik adalah antara aktiviti yang diadakan bagi membolehkan para peserta memahami konsep asas elektrik, elektronik dan penyelesaian masalah secara kreatif.

Program juga diteruskan dengan cabaran inovasi yang memberikan peluang kepada peserta menghasilkan idea penyelesaian bagi cabaran dalam bidang penjagaan kesihatan serta membentangkan idea secara kreatif dan sistematik.

Menurut YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Rafidah Zainon, pembelajaran STEM perlu disampaikan secara kontekstual supaya pelajar memahami kepentingannya dalam kehidupan seharian.

Ujarnya,

Pendedahan kepada teknologi perubatan membantu pelajar menyedari bahawa sains bukanlah sekadar teori, sebaliknya menjadi asas kepada inovasi yang membantu doktor mendiagnosis penyakit, merawat pesakit dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Katanya, pembangunan teknologi perubatan memerlukan kerjasama pelbagai disiplin termasuklah saintis, jurutera, ahli fizik perubatan, penyelidik, pakar sains komputer dan pereka bentuk produk.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dapat meningkatkan pemahaman kerana pelajar terlibat secara aktif dalam menjalankan eksperimen, membina prototaip dan menyelesaikan cabaran yang diberikan.

Pelibatan PKTAAB, USM dalam program tersebut membuktikan bahawa kolaborasi antara akademia dengan pihak industri mampu melahirkan generasi STEM yang kompeten melalui pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna, praktikal dan berimpak tinggi.

PKTAAB, USM turut menegaskan komitmennya untuk terus membangunkan modul pembelajaran yang menghubungkan penyelidikan, inovasi dan pendidikan bagi melahirkan generasi yang lebih celik sains, teknologi dan inovasi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi