Diterbitkan pada 4 Julai 2026, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kini diterima oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) sebagai private control system di bawah kerangka pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR), sekali gus memperkukuh kedudukan standard nasional itu serta meningkatkan kesiapsiagaan industri sawit Malaysia dalam memenuhi keperluan kelestarian, kebolehkesanan dan pematuhan rantaian bekalan dalam pasaran Eropah.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut diperoleh hasil penilaian yang mengesahkan MSPO sebagai sistem jaminan pihak ketiga yang mampu menyokong penyeliaan berkaitan dengan pematuhan EUDR.

Menurut beliau, pengiktirafan itu turut mengukuhkan kedudukan MSPO sebagai standard pensijilan nasional yang mempunyai struktur pensijilan, audit dan kawal selia yang tersusun.

Penerimaan MSPO sebagai private control system juga membuka ruang kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang memiliki pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk pada keperluan yang ditetapkan menerusi EUDR.

Belanda memainkan peranan penting dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Pelabuhan Rotterdam yang menjadi antara pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau berkenaan.

Perkembangan tersebut disifatkan tepat pada masanya memandangkan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada operator besar dan sederhana pada 30 Disember 2026, manakala operator kecil pula bermula pada Jun 2027.

Pelaksanaan MSPO yang turut melibatkan pekebun kecil diyakini mampu membantu industri sawit negara memenuhi keperluan pasaran antarabangsa dari segi kelestarian, kebolehkesanan dan pematuhan rantaian bekalan.

Beliau juga memaklumkan akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO dengan kerjasama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri dan rakan strategik antarabangsa.

Usaha tersebut akan memberikan tumpuan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta bimbingan kepada pekebun kecil dan pemain industri bagi memastikan sektor sawit negara lebih bersedia menghadapi pelaksanaan EUDR.

Pengiktirafan oleh NVWA itu memperkukuh usaha Malaysia membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing, selaras dengan keperluan pasaran antarabangsa serta kepentingan eksport komoditi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi