Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Sebanyak 21 kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di seluruh negara berganding bahu menjayakan Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia, sekali gus menjadikannya antara gerakan derma darah terbesar yang pernah digerakkan oleh institusi pendidikan tinggi di Malaysia serta sebahagian daripada sambutan 70 Tahun UiTM.

Kempen yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang diwakili oleh Setiausaha Politik Kementerian Kesihatan, Tuan Haji Mohammad Faisal Ismail, manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBhg. Profesor Dr. Norazah Abd Rahman mewakili Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc.
Penganjuran kali kedua dengan kerjasama Pusat Darah Negara itu membuktikan komitmen berterusan UiTM dalam membantu meningkatkan bekalan darah negara, di samping membudayakan nilai kesukarelawanan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa serta warga universiti.
YBhg. Profesor Dr. Norazah Abd Rahman berkata, program berkenaan bukan sekadar platform meningkatkan bekalan darah negara, malah menjadi medium penting dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, sahsiah dan kemanusiaan.
Beliau berkata, mahasiswa tidak seharusnya dibentuk di bilik kuliah semata-mata, sebaliknya perlu diasuh dengan nilai kemanusiaan, keprihatinan sosial serta semangat memberi dan kebersamaan.
Katanya,
Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna kini berkembang menjadi gerakan kemanusiaan berskala nasional dengan penyertaan serentak 21 kampus UiTM di seluruh negara, sekali gus membuktikan warga universiti mampu menjadi ejen perubahan yang menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyifatkan Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna sebagai inisiatif yang selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Ketiga, iaitu memastikan kehidupan sihat dan kesejahteraan untuk semua.
Tuan Haji Mohammad Faisal Ismail berkata, bekalan darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti merupakan komponen kritikal dalam sistem kesihatan negara kerana diperlukan secara berterusan bagi menyokong rawatan kecemasan, pembedahan dan pelbagai prosedur perubatan lain.
Menurut beliau, usaha menjadikan kempen derma darah sebagai acara tahunan UiTM bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia wajar dicontohi kerana mampu memperkukuh budaya kesukarelawanan, meningkatkan kesedaran sivik serta membantu memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi.
Katanya,
Kita perlu melahirkan komuniti penderma darah yang konsisten dan berterusan, bukan hanya ketika berdepan dengan situasi kecemasan atau krisis, malah penyertaan aktif mahasiswa dalam kempen seperti ini merupakan perkembangan yang amat positif dan membanggakan.
Selain aktiviti derma darah, program berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi bicara ilmu mengenai kepentingan dan kesedaran menderma darah, pameran kesihatan, pameran informasi berkaitan dengan derma darah serta jualan produk UiTM yang melibatkan pelbagai jabatan dan unit universiti.
Kempen itu turut mendapat sokongan daripada KKM, Pusat Darah Negara, hospital kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan yang bersama-sama memperluas kesedaran mengenai kepentingan menderma darah kepada masyarakat.
Penganjuran Kempen Derma Darah Perdana: UiTM Cakna membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi bukan sahaja berperanan untuk melahirkan graduan yang kompeten dan profesional, malah membentuk generasi yang berjiwa besar, prihatin serta sentiasa bersedia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan negara, selaras dengan aspirasi 70 Tahun UiTM untuk terus memberikan impak positif kepada komuniti melalui pendidikan, kesukarelawanan dan khidmat bakti kepada masyarakat.