Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sebanyak 125 orang warga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghadiri Sesi Sembang Santai MOSTI Bil. 6/2026 yang bertajuk “Let’s Talk about Burnout” di Atrium Peterana, Blok C5, MOSTI sebagai usaha memperkukuh sokongan psikososial serta meningkatkan kesedaran mengenai isu lesu upaya (burnout) yang mampu menjejaskan kesejahteraan emosi, fungsi kognitif dan kesihatan menyeluruh individu.
Sesi yang dikendalikan oleh Setiausaha AKRAB Nuklear Malaysia, Puan Manisah Saedon itu bertujuan untuk memberikan pendedahan komprehensif mengenai lesu upaya yang telah diiktiraf secara rasmi sebagai fenomena pekerjaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia menerusi klasifikasi International Classification of Diseases.
Selain membincangkan implikasi dan tanda awal lesu upaya, para peserta turut menjalani ujian saringan kendiri bagi menilai tahap keletihan emosi dan mental yang mungkin dialami secara tidak disedari.
Dalam sesi perkongsian tersebut, penceramah menjelaskan bahawa lesu upaya bukan sekadar berpunca daripada bebanan kerja yang tinggi, sebaliknya berlaku apabila seseorang individu kehilangan jati diri secara berfasa akibat terlalu lama memberikan komitmen tanpa ruang untuk memulihkan kekuatan emosi dan psikologi sehingga memerlukan intervensi awal bagi mengelakkan kemerosotan kesihatan mental yang boleh menjejaskan prestasi organisasi.

Beliau turut mengetengahkan peranan strategik Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) sebagai benteng sokongan awal di tempat kerja melalui pendekatan mendengar secara empati tanpa prejudis, memberikan sokongan emosi secara berterusan serta memudahkan rujukan kepada kaunselor atau pakar psikiatri dengan jaminan kerahsiaan maklumat individu.

Inisiatif MOSTI ini membuktikan bahawa agenda kesihatan mental di tempat kerja bukan lagi tanggungjawab peribadi semata-mata, sebaliknya memerlukan kebersamaan komuniti yang cakna dan budaya kerja yang saling menyokong.
Sesi kesedaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), Tuan Ooli Gunalan A/L Manickam serta Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, YBrs. Dr. Wan Norwidayawaty Mohammad.
