Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap empat tahun, Piala Dunia Fédération Internationale de Football Association (FIFA) menarik perhatian berjuta-juta peminat bola sepak di seluruh dunia. Walaupun peminat bola sepak teruja setiap kali menontonnya di stadium mahupun di hadapan skrin televisyen dengan penuh minat, kejohanan ini juga memberikan gambaran menarik tentang dunia matematik. Daripada format pertandingan dan pengiraan mata kepada statistik pemain, analisis prestasi dan pengurusan berjuta-juta penonton, matematik memainkan peranan penting dalam memungkinkan acara sukan terbesar di dunia ini. Piala Dunia FIFA 2026 bakal menjadi kejohanan bola sepak terbesar dalam sejarah. Buat pertama kalinya, 48 buah pasukan bertanding merentasi tiga negara tuan rumah, iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Perkara ini menjadikan jumlah pasukan meningkat sebanyak 50 peratus berbanding dengan format terdahulu yang melibatkan 32 pasukan. Pengiraan peningkatan jumlah pasukan ditunjukkan seperti yang berikut:
Seiring dengan pertambahan tersebut, jumlah perlawanan turut meningkat daripada 64 perlawanan kepada 104 perlawanan, iaitu tambahan 40 perlawanan atau kira-kira 62.5 peratus. Kejohanan ini berlangsung di 16 bandar raya, melibatkan 11 bandar di Amerika Syarikat, tiga di Mexico dan dua di Kanada.
Sebanyak 48 pasukan telah mengesahkan tempat atau berada dalam kedudukan kelayakan ke Piala Dunia FIFA 2026. Daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sembilan pasukan telah layak, iaitu Australia, Iran, Iraq, Jepun, Jordan, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan dan Uzbekistan. Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) pula diwakili oleh 10 pasukan, iaitu Algeria, Cape Verde, Republik Demokratik Congo, Mesir, Ghana, Ivory Coast, Maghribi, Senegal, Afrika Selatan dan Tunisia. Bagi Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF), enam pasukan berada dalam senarai, iaitu Kanada, Curaçao, Haiti, Mexico, Panama dan Amerika Syarikat. Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) menyaksikan penyertaan Argentina, Brazil, Colombia, Ecuador, Paraguay dan Uruguay, manakala Oceania Football Confederation (OFC) diwakili oleh New Zealand. Sementara itu, Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mempunyai wakil paling ramai dengan 16 buah pasukan, iaitu Austria, Belgium, Bosnia dan Herzegovina, Croatia, Republik Czech, England, Perancis, Jerman, Belanda, Norway, Portugal, Scotland, Sepanyol, Sweden, Switzerland dan Turkiye. Senarai ini memperlihatkan penyertaan pasukan dari enam konfederasi FIFA, sekali gus mencerminkan kepelbagaian geografi dan daya saing global yang menjadi identiti utama Piala Dunia FIFA 2026.
FIFA juga menganggarkan sekitar tujuh juta orang penonton akan hadir ke stadium sepanjang kejohanan, manakala jumlah tontonan global dijangka menghampiri enam bilion orang penonton. Kesemua angka ini menunjukkan konsep matematik seperti peratusan, nisbah, statistik, unjuran dan analisis data memainkan peranan penting dalam perancangan serta pengurusan acara sukan terbesar dunia ini.
Format kejohanan itu sendiri memberikan perspektif matematik yang menarik. Sebanyak 48 buah pasukan dibahagikan kepada 12 kumpulan yang terdiri daripada empat buah pasukan. Oleh sebab setiap pasukan perlu menentang semua pasukan lain dalam kumpulannya, setiap kumpulan akan menghasilkan enam perlawanan. Hal ini bermakna peringkat kumpulan sahaja akan melibatkan 72 perlawanan sebelum pusingan kalah mati bermula. Format baharu ini juga meningkatkan peluang pasukan untuk mara ke peringkat seterusnya. Jika sebelum ini hanya separuh daripada pasukan layak ke pusingan kalah mati, edisi 2026 akan menyaksikan 32 daripada 48 pasukan mara, bermakna kira-kira dua daripada setiap tiga pasukan akan meneruskan perjalanan mereka dalam kejohanan tersebut.
Matematik turut diterapkan dalam sistem pemarkahan Piala Dunia 2026. Dalam peringkat kumpulan, kemenangan memberikan tiga mata, keputusan seri satu mata dan kekalahan tiada mata. Oleh sebab setiap pasukan bermain tiga perlawanan, jumlah mata maksimum yang boleh dikumpulkan ialah sembilan, manakala jumlah minimum ialah sifar. Yang menariknya, tidak semua jumlah mata antara sifar hingga sembilan boleh dicapai. Sesebuah pasukan boleh menamatkan saingan dengan 0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7 atau 9 mata, dan mustahil untuk berakhir dengan lapan mata kerana struktur pemberian mata yang digunakan. Seperti ditunjukkan dalam jadual di bawah, peraturan yang kelihatan mudah ini sebenarnya menghasilkan pelbagai kemungkinan strategik yang menentukan pasukan yang layak ke pusingan seterusnya.
| Menang | Seri | Kalah | Jumlah Mata |
| 0 | 0 | 3 | 0 |
| 0 | 1 | 2 | 1 |
| 0 | 2 | 1 | 2 |
| 1 | 0 | 2 | 3 |
| 0 | 3 | 0 | 3 |
| 1 | 1 | 1 | 4 |
| 1 | 2 | 0 | 5 |
| 2 | 0 | 1 | 6 |
| 2 | 1 | 0 | 7 |
| 3 | 0 | 0 | 9 |
Daripada jadual tersebut, dapat diperhatikan bahawa sesebuah pasukan boleh menamatkan saingan dengan 0, 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7 atau 9 mata. Walau bagaimanapun, lapan mata mustahil diperoleh kerana tiada gabungan kemenangan, seri dan kekalahan dalam tiga perlawanan yang menghasilkan jumlah lapan mata. Dalam kalangan peminat bola sepak, empat mata sering dianggap sebagai “nombor ajaib” peringkat kumpulan. Pasukan yang mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan akan mengumpulkan empat mata, jumlah yang lazimnya mencukupi untuk kekal dalam persaingan merebut slot kelayakan. Berdsarkan format baharu, apabila lapan pasukan tempat ketiga terbaik turut mara ke pusingan kalah mati, empat mata mungkin menjadi lebih bernilai. Sekiranya dua atau lebih pasukan mengumpulkan jumlah mata yang sama, perbezaan gol akan menjadi penentu. Oleh itu, satu gol yang dijaringkan atau dibolosi mampu mengubah peluang sesebuah pasukan untuk layak dengan ketara.
Satu lagi fakta matematik yang menarik ialah sesebuah pasukan boleh kekal tanpa kalah, tetapi masih tersingkir daripada kejohanan. Tiga keputusan seri hanya menghasilkan tiga mata yang mungkin tidak mencukupi untuk mara ke pusingan seterusnya. Sebaliknya, pasukan yang memenangi satu perlawanan tetapi tewas dalam dua perlawanan lain juga memperoleh tiga mata. Situasi ini menunjukkan bahawa satu kemenangan mempunyai nilai yang sama dengan tiga keputusan seri. Atas sebab itu, pasukan sering digalakkan untuk memburu kemenangan berbanding sekadar berpuas hati dengan keputusan seri. Di atas padang, matematik mempengaruhi hampir setiap aspek permainan. Pemain sentiasa membuat keputusan yang melibatkan sudut, jarak, kelajuan dan masa dalam tempoh yang sangat singkat. Pada masa yang sama, penganalisis moden menggunakan data untuk menilai ketepatan hantaran, peratusan penguasaan bola, jarak larian pemain dan kebarangkalian sesuatu rembatan menghasilkan gol melalui metrik yang dikenali sebagai gol yang dijangkakan. Yang kelihatan sebagai permainan bola sepak yang mudah sebenarnya merupakan aplikasi statistik, kebarangkalian dan penaakulan matematik yang kompleks.
Kesimpulannya, peminat bola sepak sering mengatakan bahawa sesuatu perlawanan ditentukan oleh momen tertentu. Dari sudut matematik, kenyataan itu sememangnya benar. Satu gol, satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan atau satu kad kuning boleh mengubah kedudukan pasukan, kebarangkalian kelayakan dan keputusan akhir kejohanan. Oleh hal yang demikian, Piala Dunia FIFA 2026 memberikan gambaran kepada kita bahawa di sebalik setiap hantaran, penyelamatan dan jaringan gol, terdapat dunia angka yang memainkan peranan sama pentingnya dalam menentukan perjalanan sesebuah pasukan.