Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Transformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya melangkaui sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 apabila merekodkan sebanyak 103 902 orang graduan diploma Kolej Vokasional (KV), melebihi sasaran asal, iaitu 90 000 orang graduan.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, YBrs. Ts. Zulkernai Fauzi menerusi sesi perkongsiannya menerusi Seminar Wanita dalam TVET: Membina Potensi, Mencorak Masa Hadapan Tahun 2026 yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya hari ini berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2012 apabila 86 buah Sekolah Menengah Teknik dinaik taraf menjadi Kolej Vokasional.
Beliau berkata, KV melahirkan graduan diploma pertamanya pada tahun 2016 menerusi konvokesyen sulung yang melibatkan 2273 orang graduan sebelum jumlah itu berkembang secara konsisten hingga melepasi 100 000 orang graduan pada tahun 2025.
Menurutnya,
Kini, KV menawarkan 35 program pengajian yang merangkumi 10 bidang utama dan merupakan satu-satunya institusi di bawah KPM yang diberikan kuasa untuk menawarkan program bertaraf diploma secara langsung.
Semua program diploma KV memperoleh akreditasi penuh daripada Lembaga Teknologis Malaysia bagi bidang teknologi dan Agensi Kelayakan Malaysia bagi bidang bukan teknologi.
Permintaan terhadap TVET turut menunjukkan peningkatan ketara apabila jumlah permohonan kemasukan ke KV melonjak daripada 28 068 orang calon pada tahun 2022 kepada 60 868 orang calon pada tahun 2024 dengan hanya 17 672 tempat yang ditawarkan.
Trend tersebut berterusan pada tahun 2025 apabila sebanyak 58 263 permohonan diterima berbanding dengan kapasiti pengambilan 17 912 orang pelajar, sekali gus menunjukkan hanya kira-kira seorang daripada tiga pemohon berjaya mendapat tempat.
Ujarnya, kejayaan tersebut didorong oleh reputasi tinggi KV yang merekodkan kadar kebolehpasaran graduan diploma melebihi 99 peratus selama empat tahun berturut-turut.
Kadar kebolehpasaran graduan mencatatkan 99.16 peratus pada tahun 2021, meningkat kepada 99.38 peratus pada tahun 2022, 99.91 peratus pada tahun 2023 dan 99.95 peratus pada tahun 2024.
Data semasa turut menunjukkan 87.42 peratus daripada 10 808 orang graduan pada tahun 2025 telah berjaya memperoleh pekerjaan atau menyambung pengajian walaupun baru menamatkan pengajian beberapa bulan lalu.
Dalam aspek pemerkasaan wanita, beliau berkata pelibatan pelajar perempuan dalam KV masih berada pada tahap 36.07 peratus secara purata dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini walaupun jumlah pemohon wanita semakin meningkat.
Menurutnya, pelajar perempuan kini banyak memilih bidang pengurusan perniagaan, seni kulinari, perakaunan, seni reka fesyen dan kosmetologi, namun mereka perlu digalakkan meneroka bidang teknologi dan kejuruteraan yang selama ini didominasi oleh pelajar lelaki.
Kongsinya,
Kejayaan pelajar wanita seperti Puan Hayatun Nufus Roshisam dari KV Kajang yang memenangi pingat emas dalam pertandingan kemahiran peringkat kebangsaan dan ASEAN membuktikan bahawa wanita mampu cemerlang dalam bidang teknikal berteknologi tinggi.
Selaras dengan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, elemen TVET dan digital kini diperluas ke seluruh ekosistem pendidikan bermula dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah melalui pengenalan kurikulum baharu berteraskan teknologi dan kemahiran digital.
KPM juga memperkukuh agenda TVET masa hadapan menerusi pelaksanaan program Sekolah Berasrama Penuh (SBP) TVET AI, pengenalan modul Generative AI dan Computer Vision AI di KV serta pembangunan tiga program diploma baharu, iaitu Diploma Teknologi Mekatronik, Diploma Teknologi Kecerdasan Buatan Gunaan dan Diploma Pembangunan Perisian Permainan Digital.
Sebelum mengakhiri sesi perkongsiannya, beliau turut menegaskan bahawa inisiatif tersebut penting bagi memastikan graduan TVET kekal relevan dalam menghadapi perubahan landskap pekerjaan global yang semakin dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan dan digitalisasi.