Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Kanser buah pinggang kini muncul sebagai antara penyakit yang semakin mendapat perhatian komuniti perubatan global susulan peningkatan jumlah kes yang dikaitkan dengan perubahan gaya hidup moden, peningkatan kadar obesiti, hipertensi serta penuaan populasi dunia.
Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis (UiTM Cawangan Perlis), Puan Nur Syafiqah Rahim berkata, penyakit tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana buah pinggang merupakan organ penting yang berfungsi mengekalkan keseimbangan fisiologi badan melalui proses penapisan bahan buangan, pengawalan cecair dan elektrolit, tekanan darah serta penghasilan hormon tertentu.
Menurut beliau, kanser buah pinggang berlaku apabila sel dalam organ tersebut mengalami perubahan genetik dan molekul yang menyebabkan pertumbuhan sel menjadi tidak terkawal sehingga membentuk tumor.
Katanya,
Apabila tumor berkembang, tumor ini bukan sahaja menjejaskan struktur buah pinggang malah boleh mengganggu fungsi fisiologi organ tersebut serta merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan kes kanser buah pinggang di pelbagai negara menjadikan penyakit itu sebagai isu kesihatan awam yang signifikan kerana memberikan kesan kepada kualiti hidup pesakit serta meningkatkan beban sistem penjagaan kesihatan.

Mengulas faktor risiko utama, beliau berkata tabiat merokok, obesiti, tekanan darah tinggi, penyakit buah pinggang kronik dan sejarah keluarga merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan risiko penyakit tersebut kerana faktor ini boleh mencetuskan keradangan kronik, tekanan oksidatif serta kerosakan DNA yang berpanjangan pada sel buah pinggang.
Jelasnya,
Kanser buah pinggang bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya merupakan hasil interaksi kompleks antara faktor genetik, fisiologi dan persekitaran yang berlaku dalam tempoh yang panjang.
Antara gejala yang mungkin dialami termasukah kehadiran darah dalam air kencing, sakit pada bahagian pinggang atau belakang, keletihan berpanjangan serta penurunan berat badan tanpa sebab yang jelas. Namun demikian, simptom tersebut lazimnya hanya muncul apabila penyakit telah mencapai tahap yang lebih serius.
Beliau menjelaskan bahawa buah pinggang mempunyai kapasiti fungsi simpanan yang tinggi, menyebabkan seseorang masih mampu menjalani kehidupan harian secara normal walaupun berlaku perubahan awal pada organ tersebut.
Pemakanan yang tinggi garam, gula dan makanan ultraproses, digabungkan dengan gaya hidup sedentari serta kurangnya aktiviti fizikal boleh meningkatkan risiko obesiti dan hipertensi yang merupakan faktor risiko utama penyakit tersebut.
Selain itu, pendedahan kepada asap rokok, bahan kimia tertentu dan pencemaran persekitaran juga berupaya meningkatkan kerosakan sel serta DNA yang akhirnya mewujudkan persekitaran biologi yang kondusif untuk perkembangan sel kanser.
Ujarnya,
Apabila kita melihat peningkatan obesiti, hipertensi dan diabetes dalam masyarakat moden, kita sebenarnya sedang menyaksikan peningkatan tekanan terhadap sistem fisiologi badan yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit kronik termasuk kanser buah pinggang.
Dari sudut rawatan, perkembangan terkini menunjukkan peralihan ketara daripada pendekatan konvensional kepada rawatan yang lebih bersifat sasaran dan diperibadikan mengikut profil pesakit.
Beliau berkata selain penggunaan teknologi pengimejan seperti ultrasound, CT scan dan MRI dalam diagnosis, penyelidikan terkini turut memberikan tumpuan kepada pembangunan biomarker molekul yang dapat membantu meningkatkan ketepatan pengesanan awal kewujudan penyakit sebelum simptom klinikal muncul.
Dalam aspek rawatan pula, selain pembedahan, pesakit kini mempunyai akses kepada terapi sasaran dan imunoterapi yang menawarkan pendekatan lebih spesifik dalam menangani penyakit tersebut, dengan terapi sasaran menghalang laluan molekul yang menyokong pertumbuhan sel kanser, manakala imunoterapi mengaktifkan semula sistem imun pesakit untuk mengenal pasti dan memusnahkan sel kanser dengan lebih berkesan.
Tambahnya,
Pendekatan ini selari dengan konsep “precision medicine” yang memberikan rawatan berdasarkan ciri molekul tumor setiap individu, sekali gus meningkatkan keberkesanan rawatan.
Beliau turut menegaskan bahawa pengesanan awal memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang kejayaan rawatan, memandangkan tumor yang dikesan pada peringkat awal dan masih terhad kepada buah pinggang lazimnya dapat dirawat dengan lebih berkesan melalui pembedahan berbanding dengan tumor yang telah merebak ke organ lain.
Walaupun tiada program saringan rutin untuk populasi umum pada masa ini, individu yang mempunyai sejarah keluarga, penyakit buah pinggang kronik, obesiti atau hipertensi disarankan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Beliau juga menyeru golongan muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan terbaik termasuklah mengelakkan merokok, mengekalkan berat badan ideal, mengawal tekanan darah, mengamalkan pemakanan seimbang dan melakukan aktiviti fizikal secara konsisten.
Beliau berharap masyarakat lebih memahami kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang kerana langkah pencegahan yang diamalkan sejak usia muda bukan sahaja membantu mengekalkan fungsi fisiologi organ tersebut, malah dapat mengurangkan risiko keradangan kronik, tekanan oksidatif dan kerosakan DNA yang menjadi antara pencetus utama pembentukan kanser.