Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Peningkatan penggunaan antibiotik dalam sektor kesihatan, penternakan dan akuakultur kini bukan sahaja memberikan kesan kepada manusia, malah mula mengancam keseimbangan alam sekitar, khususnya ekosistem akuatik.
Isu pencemaran antibiotik semakin mendapat perhatian dunia apabila sisa bahan farmaseutikal itu dikesan di dalam sungai dan laut sehingga mencetuskan kebimbangan terhadap fenomena rintangan antimikrob atau anti-microbial resistance (AMR).
Pensyarah Kanan, Unit Kimia, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, Puan Dyia Syaleyana Md Shukri, berkata masyarakat hari ini masih belum memahami sepenuhnya implikasi penggunaan antibiotik secara tidak terkawal terhadap kesihatan dan alam sekitar.
Situasi tersebut mempercepat pembentukan bakteria rintang antibiotik yang menjadikan rawatan semakin sukar dan memerlukan penggunaan ubat yang lebih kuat serta kos rawatan yang lebih tinggi.
Katanya,
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, AMR berlaku apabila bakteria, virus, kulat atau parasit tidak lagi bertindak balas terhadap ubat antimikrob. Penyalahgunaan antibiotik pada manusia, haiwan dan tumbuhan menjadi antara pemacu utama kemunculan patogen rintang ubat.
Beliau turut menjelaskan bahawa sisa antibiotik boleh memasuki sungai dan laut melalui pelbagai saluran tanpa disedari oleh masyarakat, termasuklah kumbahan domestik apabila sisa ubat yang tidak dimetabolismekan sepenuhnya keluar melalui air kencing dan najis sebelum memasuki sistem kumbahan.
Selain itu, air sisa hospital dan klinik, sektor penternakan dan akuakultur, industri farmaseutikal serta pelupusan ubat secara tidak betul turut menjadi penyumbang utama pencemaran antibiotik terhadap alam sekitar.

Menurut beliau lagi, pencemaran antibiotik memberikan kesan besar terhadap keseimbangan ekosistem akuatik, khususnya plankton yang menjadi asas rantaian makanan, manakala fitoplankton sebagai pengeluar primer boleh mengalami gangguan pertumbuhan dan zooplankton pula berdepan masalah pembiakan serta kelangsungan hidup.
Jelasnya,
Jika komuniti plankton terganggu, keseluruhan rantaian makanan akuatik turut terkesan termasuklah populasi ikan dan organisma lain. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekosistem dan pengurangan biodiversiti.
Tambah beliau, pencemaran alam sekitar juga menjadi faktor tersembunyi yang mempercepat penyebaran bakteria rintang antibiotik apabila residu antibiotik dalam sungai dan tanah memberikan tekanan selektif kepada bakteria, sekali gus menyebabkan bakteria yang memiliki gen rintangan terus hidup dan membiak.
Dalam konteks Malaysia, beliau berkata sektor penternakan, akuakultur dan farmaseutikal dikenal pasti antara penyumbang kepada pencemaran antibiotik, susulan kajian terhadap ladang akuakultur di negara ini yang menunjukkan kewujudan residu antibiotik serta gen rintangan antibiotik dalam air buangan kolam ternakan.

Beliau turut berpandangan bahawa sistem rawatan air sedia ada di Malaysia masih belum cukup berkesan untuk menyingkirkan sisa antibiotik kerana kebanyakan loji rawatan konvensional hanya direka untuk membuang bahan organik dan patogen asas.
Mengulas langkah penyelesaian, beliau menegaskan pendekatan one health perlu diperkukuh dengan melibatkan manusia, haiwan dan alam sekitar secara serentak di samping kerajaan disaran memperketat pemantauan residu antibiotik di dalam sungai, air sisa hospital, loji kumbahan serta ladang ternakan dan akuakultur.
Pada masa yang sama, industri perlu menggunakan antibiotik secara lebih bertanggungjawab, manakala masyarakat digalakkan menggunakan antibiotik hanya dengan preskripsi doktor serta mengelakkan pembuangan ubat lama ke dalam sinki atau tandas.
Beliau berharap kesedaran masyarakat terhadap ancaman pencemaran antibiotik dapat dipertingkatkan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesihatan awam terus terpelihara pada masa hadapan.