Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Bidang Kejuruteraan Teknologi Polimer kini semakin mendapat perhatian sebagai antara pemacu utama pembangunan industri berteknologi tinggi negara, selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 serta agenda kelestarian global. Program ini bukan sahaja melahirkan tenaga mahir dalam bidang bahan dan pemprosesan polimer, malah turut menyumbang kepada inovasi teknologi, penyelidikan mampan dan pengukuhan daya saing industri Malaysia pada peringkat antarabangsa.
Pensyarah Kanan Unit Teknologi Polimer, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA, YBrs. Dr. Nurul Aizan Mohd Zaini, berkata bidang Kejuruteraan Teknologi Polimer memainkan peranan penting sebagai pemangkin transformasi industri berasaskan bahan di Malaysia melalui penghasilan tenaga kerja mahir, inovasi bahan serta pembangunan teknologi lestari yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, bidang ini kini menjadi antara cabang strategik dalam pembangunan industri moden kerana penggunaannya merangkumi pelbagai sektor penting seperti automotif, aeroangkasa, elektronik, perubatan, pembungkusan dan tenaga.
Tambahnya, sifat bahan polimer yang ringan, tahan lasak, fleksibel dan boleh direka mengikut keperluan aplikasi industri menjadikannya bahan utama dalam pembangunan teknologi masa hadapan.
Ujarnya,
Bidang ini bukan sahaja melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang polimer, getah, plastik dan bahan komposit, malah turut melahirkan penyelidik dan usahawan teknologi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam sektor kejuruteraan misalnya, penggunaan bahan polimer membantu menghasilkan produk yang lebih ringan tetapi mempunyai kekuatan serta ketahanan tinggi sekali gus meningkatkan kecekapan pengeluaran dan penjimatan kos.
Tambah beliau, dalam industri automotif dan aeroangkasa, penggunaan bahan komposit polimer mampu mengurangkan berat kenderaan serta meningkatkan penjimatan tenaga, manakala dalam sektor elektrik dan elektronik, polimer digunakan sebagai bahan penebat dan perlindungan yang menyokong pembangunan teknologi moden.
Tambahnya,
Bidang perubatan juga banyak memanfaatkan biopolimer dalam penghasilan alat kesihatan, implan serta sistem penghantaran ubat yang lebih selamat dan efisien, manakala dalam sektor pembungkusan pula, bahan polimer membantu menghasilkan produk yang tahan lama dan mampu memanjangkan jangka hayat makanan serta farmaseutikal.
Mengulas mengenai struktur kurikulum program, beliau berkata bidang Kejuruteraan Teknologi Polimer perlu dibangunkan secara menyeluruh dengan mengintegrasikan elemen sains asas, kejuruteraan dan teknologi terkini selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, selain para pelajar didedahkan kepada asas kimia, fizik, matematik dan sains bahan sebelum diterapkan dengan kemahiran pemprosesan polimer, reka bentuk bahan, kawalan kualiti dan analisis prestasi produk.
Jelasnya,
Teknologi digital seperti automasi, simulasi komputer dan pembuatan pintar turut diintegrasikan dalam proses pembelajaran. Pelajar juga didedahkan kepada teknologi moden seperti bahan pintar, nanoteknologi dan teknologi bahan mampan yang menjadi trend utama industri kini.
Menurut beliau lagi, kerjasama strategik antara universiti dengan industri memainkan peranan penting dalam mempercepat inovasi serta pemindahan teknologi dalam bidang kejuruteraan polimer sekali gus membolehkan hasil penyelidikan akademik diterjemahkan kepada produk dan teknologi yang boleh dikomersialkan dengan lebih cepat.

Pada masa yang sama, beliau mengakui penggunaan meluas bahan polimer lestari di Malaysia masih berdepan beberapa cabaran saintifik dan teknikal termasuklah kos penghasilan yang lebih tinggi berbanding dengan polimer konvensional, kelemahan sesetengah biopolimer dari segi kekuatan mekanikal dan kestabilan haba serta kekangan infrastruktur kitar semula yang masih belum menyeluruh.
Beliau turut menekankan bahawa penyelidikan dalam bidang advanced polymer engineering mampu meningkatkan daya saing industri negara pada peringkat global melalui pembangunan bahan polimer berprestasi tinggi, teknologi automasi, simulasi digital serta percetakan 3D.
Mengulas cabaran kelestarian sejagat, beliau berkata bidang Kejuruteraan Teknologi Polimer mempunyai peranan besar dalam menyokong agenda ekonomi kitaran melalui pembangunan bahan boleh dikitar semula, biodegradasi serta penggunaan sumber boleh diperbaharui.
Tambah beliau, pembangunan bahan pintar, self-healing polymer dan bahan tahan lama dapat membantu mengurangkan kadar kerosakan produk serta meminimumkan pembaziran sumber sekali gus menyumbang kepada pembangunan mampan negara.
Beliau berharap bidang kejuruteraan teknologi polimer akan terus diperkasakan bagi melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran tinggi yang mampu menjadi pemacu inovasi, teknologi hijau dan transformasi industri negara pada masa hadapan.
Melalui sinergi antara universiti, industri dan penyelidikan berimpak tinggi, bidang ini dijangka terus memainkan peranan strategik dalam membentuk masa hadapan industri dan teknologi negara.