Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kesedaran terhadap kepentingan pengesanan awal kanser payudara terus menjadi isu utama dalam sektor kesihatan negara, khususnya dalam memastikan pemeriksaan mamografi dijalankan secara tepat, selamat dan berkualiti.

Sehubungan itu, Integrated Medical System (IMS) Sdn. Bhd. telah menganjurkan program latihan khas berkaitan dengan mamografi bagi memperkukuh kemahiran serta kefahaman jururadiograf dalam pengendalian prosedur pemeriksaan tersebut.

Program yang berlangsung di auditorium dan bilik pameran IMS itu menghimpunkan jururadiograf dalam perkhidmatan pengimejan payudara melalui pelbagai pengisian penting, termasuk persediaan pesakit, teknik asas posisi mamografi, peranan jururadiograf, isu pemposisian, penilaian kualiti imej mamografi serta artifak dalam imej digital.

Program tersebut turut menampilkan penceramah berpengalaman daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Putrajaya yang berkongsi pengetahuan serta pengalaman berkaitan dengan amalan terbaik dalam pengendalian mamografi dan kualiti imej.

Program ini menekankan keperluan meningkatkan kompetensi serta standard amalan jururadiograf dalam prosedur mamografi bagi mengurangkan kesilapan teknikal yang boleh menjejaskan kualiti diagnosis dan menyebabkan pesakit menjalani pemeriksaan ulangan yang boleh meningkatkan tekanan emosi dan ketidakselesaan.

Menurut penganjur, program tersebut diadakan susulan peningkatan keperluan latihan berterusan dalam kalangan jururadiograf sejajar dengan perkembangan teknologi serta permintaan terhadap perkhidmatan saringan kanser payudara yang semakin meningkat selain membantu peserta memahami situasi sebenar di tempat kerja.

Penceramah program, Puan Rohafiza berkata, penguasaan teknik posisi yang betul memainkan peranan penting dalam menghasilkan imej mamografi yang berkualiti tinggi.

Katanya,

Jururadiograf bukan sahaja mengendalikan mesin, tetapi bertanggungjawab memastikan pesakit berada dalam keadaan selesa dan imej yang dihasilkan memenuhi standard diagnostik.

Sementara itu, YBrs. Dr. Norhashimah menegaskan bahawa latihan dan audit kualiti berterusan perlu dijadikan budaya kerja dalam bidang radiografi.

Ujarnya,

Kesedaran terhadap kepentingan pengimejan berkualiti perlu diperkukuh kerana memberikan impak langsung kepada pengesanan awal kanser payudara dan rawatan pesakit.

Program tersebut turut memberikan peluang kepada peserta untuk menjalani sesi latihan praktikal bersama-sama sukarelawan di bilik pameran bagi meningkatkan keyakinan dan kemahiran praktikal.

Seorang peserta program menyifatkan pendekatan latihan yang dijalankan sebagai berkesan kerana menggabungkan teori, penilaian imej dan latihan praktikal dalam satu sesi yang tersusun, sekali gus membantu peserta memahami kesilapan yang sering berlaku semasa proses pengendalian mamografi serta cara menambah baik teknik sedia ada.

Selain sesi pembentangan dan latihan praktikal, program ini turut diselitkan dengan ujian prapenilaian dan pascapenilaian bagi mengukur tahap kefahaman peserta terhadap kandungan latihan yang disampaikan dan diakhiri dengan sesi soal jawab, maklum balas peserta serta penyampaian sijil penghargaan.

Penganjuran program seumpama ini dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mamografi di institusi kesihatan, sekali gus menyokong usaha pengesanan awal kanser payudara dalam kalangan wanita di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi