Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Program “Smart Health Futures: Innovation for ASEAN–Australia Collaboration” anjuran ASEAN-Australia Strategic Youth Partnership, Australian Global Health Alliance dan Australia-Indonesia Youth Association telah berjaya menghimpunkan pakar global, penyelidik muda dan pemimpin masa hadapan bagi membincangkan peranan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi dalam memperkukuh sistem kesihatan di rantau ASEAN serta Australia.

Program yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom menjadi platform penting dalam memperluas jaringan akademik dan profesional rentas negara, selain membuka ruang perbincangan mengenai masa hadapan kesihatan pintar yang lebih inklusif dan mampan.

Program tersebut telah dikendalikan oleh moderator antarabangsa, iaitu Puan Nareuchaya Karoonuthaisiri, Radiographer di PRP Diagnostic Imaging, merangkap Pengarah Alumni and Community AASYP dan Puan Anastasia Koo, CEO CAUSINDY yang juga merupakan Presiden Australia-Indonesia Youth Association serta turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Encik Oliver Taylor, penerima 2025 Westpac Asian Exchange Scholar dan 2026 Young Australians in International Affairs Europe and Eurasia Fellow.

Mewakili Malaysia sebagai panel profesional ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, yang berkepakaran dalam bidang Kejuruteraan Perisian dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, dan penyertaan beliau mencerminkan pelibatan aktif akademia negara dalam perbincangan berkaitan dengan transformasi digital serta pembangunan sistem kesihatan pintar pada peringkat antarabangsa.

Ujarnya,

Universiti hari ini tidak boleh lagi sekadar menjadi pengeluar ilmu pengetahuan semata-mata, sebaliknya perlu berperanan sebagai pembina ekosistem inovasi yang menghubungkan akademia, industri dan pembuat dasar secara strategik.

Menurut beliau, impak sebenar AI dalam sektor kesihatan hanya dapat dicapai apabila penyelidikan akademik diterjemahkan kepada penyelesaian dunia sebenar melalui kerjasama rentas sektor, selain menegaskan bahawa universiti perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari sudut teknikal, malah memahami aspek etika, tadbir urus dan cabaran dunia sebenar dalam pembangunan teknologi kesihatan digital.

Tambahnya,

Sesebuah model analitik mungkin sangat tepat di makmal, namun apabila melibatkan rakan industri dan pembuat dasar, penyelidikan itu menjadi lebih praktikal, boleh dilaksanakan dan memberikan manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.

Jelasnya lagi, pembangunan modal insan berkualiti merupakan elemen penting dalam agenda transformasi digital ASEAN, sekali gus menjadikan peranan universiti bukan sekadar akademik, tetapi strategik dalam membentuk masa hadapan sistem kesihatan serantau.

YBrs. Prof. Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi merupakan antara panel program ini.

Antara panel meja bulat lain yang terlibat ialah YBrs. Prof. Thi Hoang Ngan Le dari University of Arkansas; YBrs. Dr. Kathryn Roa, penerima Australia Awards Scholar; Puan Maria Lourdes Malipol, CEO dan Technical Founder Akaiin serta panel prolifik lain.

Perbincangan yang berlangsung menekankan kepentingan kerjasama rentas disiplin dan rentas negara dalam menghadapi cabaran kesihatan global kini dengan memfokuskan penggunaan AI dalam sistem kesihatan, pembangunan inovasi kesihatan digital, penyelidikan penyakit berjangkit serta pelibatan komuniti dalam pembangunan dasar kesihatan masa hadapan.

Penganjuran program seperti ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan strategik antara institusi pendidikan tinggi, industri dan organisasi antarabangsa dalam memperkukuh agenda kesihatan digital serantau.

Kredit Foto: Facebook ASEAN-Australia Strategic Youth Partnership
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi