Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Kolaborasi strategik Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dalam Karnival KOPSTEM dan DELIMa 2026 di Kolej Vokasional Klang berjaya memacu kecemerlangan pelajar melalui pendedahan menyeluruh terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta kesedaran keselamatan radiasi dalam satu platform pendidikan holistik.

Karnival ini menggabungkan lapan program teknologi, lapan unit akademik serta pusat sumber dengan tema “Minda Cerdas Pemacu Kecemerlangan” yang menekankan pembangunan pelajar secara menyeluruh.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Teknikal Pusat Pengurusan Tindak Balas Nuklear Kebangsaan, Encik Zulkhairi Othman yang menegaskan bahawa program seumpama ini mampu membentuk pelajar secara holistik dari aspek intelek, jasmani, emosi dan sahsiah diri.

Sementara itu, Pengarah Kolej Vokasional Klang, Ts. Haji Ederin Haji Amid dalam ucapannya berkata, sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kolej ini perlu terus relevan dan seiring dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi berdaya cipta, berkeyakinan serta bersedia menghadapi cabaran global demi memastikan kemenjadian pelajar yang berimpak tinggi.
Menurut Ketua Penyelaras Karnival pula, Puan Noor Aiza Razak, program ini memberikan peluang kepada pelajar memperoleh pendedahan baharu serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan keselamatan radiasi dan teknologi, selain usaha memperluas kolaborasi dengan lebih banyak agensi luar akan terus diperkasakan pada masa hadapan.
Ujarnya,
Menerusi program seumpama ini, para pelajar dapat memanfaatkan sepenuhnya semua aktiviti melibatkan koakademik, pusat sumber dan STEM bagi menambah ilmu serta pengalaman.
Penyertaan Atom Malaysia sebagai rakan strategik memberikan dimensi baharu apabila pelajar bukan sahaja didedahkan kepada dunia STEM, malah memahami peranan penting jabatan tersebut dalam aspek keselamatan dan kawal selia tenaga nuklear di Malaysia.
Program kesedaran sinaran yang dibawakan turut berjaya menarik minat pelajar serta meningkatkan keyakinan mereka terhadap potensi diri.
Karnival ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi MARA, National Kidney Foundation, Karangkraf, Maybank dan CelcomDigi yang memeriahkan program melalui aktiviti, pertandingan, khidmat nasihat, pemeriksaan kesihatan dan pameran interaktif.
Secara keseluruhannya, Karnival KOPSTEM dan DELIMa 2026 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting dalam membina generasi pelajar yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing serta lebih yakin menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan.
