Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPerlis — Inisiatif kolaborasi strategik antara UiTM Cawangan Perlis melalui PcMAG dengan Universitas Islam Negeri Sunan Ampel Surabaya (UIN Sunan Ampel) terus diperkukuh dalam usaha mempertingkatkan bidang sains dan teknologi antara Malaysia dengan Indonesia, sekali gus membuka ruang baharu kepada kerjasama rentas disiplin dan pembangunan bakat penyelidik muda.
Jalinan ini merupakan kesinambungan hubungan akademik antara UiTM Perlis dengan UIN Sunan Ampel sejak tahun 2022 menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU). Sebelum ini, kerjasama tertumpu kepada bidang sains komputer dan matematik, namun kini diperluas kepada pelbagai bidang lain selari dengan keperluan semasa dan agenda pembangunan ilmu serantau.
Usaha ini juga dilihat sebagai menyahut aspirasi Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) yang menekankan pemerkasaan jaringan antarabangsa, penghasilan penyelidikan berimpak tinggi serta pengukuhan ekosistem inovasi berteraskan kolaborasi global.
Delegasi UiTM Cawangan Perlis yang hadir dalam sesi perbincangan tersebut termasuklah YBrs. Dr. Abu Hassan Nordin dan YBrs. Dr. Mohammad Saifuldin Mohd Azami, dengan bimbingan strategik oleh YBrs. Profesor Dr. Nafisah Osman dan YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi. Pihak UIN Sunan Ampel pula diwakili oleh dua penyelidik, iaitu Ir. Teguh Taruna Utama dan Aulia Nur Febrianti yang merupakan penyelidik daripada Fakulti Teknik Lingkungan yang turut menyatakan komitmen tinggi dalam memperluas kerjasama akademik antara kedua-dua institusi.
Antara intipati utama perbincangan termasuklah penghasilan bersama penulisan jurnal berimpak tinggi, penerbitan buku akademik serta pelaksanaan program peningkatan kapasiti dalam bidang sains dan teknologi.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan institusi, malah menyediakan platform penting kepada penyelidik muda untuk berkembang, membina rangkaian penyelidikan dan meneroka peluang kolaborasi antarabangsa.
Kolaborasi ini dijangka menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelidikan yang lebih signifikan dan relevan, selain menyumbang kepada pembangunan ilmu dan inovasi yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.