Diterbitkan pada 5 Mei 2026, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Penggunaan e-portfolio dalam kalangan pensyarah dan penyelidik dilihat semakin signifikan dalam meningkatkan ketampakan hasil penyelidikan serta memperjelas fokus kepakaran masing-masing, kata Puan Cristina Beans, Pengurus Projek Kanan, Institutional Project Management Office (OGPI), University of Alicante, Sepanyol dalam satu sesi perkongsian menerusi aplikasi Zoom.

Menurut beliau, e-portfolio bukan sekadar platform penyimpanan maklumat akademik, malah berperanan sebagai “identiti digital” yang mencerminkan kekuatan penyelidikan seseorang ahli akademik.

Jelasnya,

Melalui e-portfolio yang tersusun dan strategik, penyelidik dapat mempamerkan bidang kepakaran, penerbitan berimpak tinggi, geran penyelidikan serta jaringan kolaborasi dengan lebih jelas dan mudah diakses.

Beliau menekankan bahawa pada era digital dan persaingan global yang semakin sengit, ketampakan merupakan elemen penting dalam memastikan hasil penyelidikan tidak tenggelam selain membantu penyelidik mengenal pasti kekuatan dan jurang dalam bidang penyelidikan masing-masing, sekali gus dapat menilai konsistensi fokus kajian yang telah dijalankan.

Tambahnya,

Penyelidikan yang baik perlu dilihat, dirujuk dan dimanfaatkan. E-portfolio membantu meningkatkan kebolehlihatan aspek ini sekali gus membuka peluang kolaborasi baharu pada peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Puan Cristina Beans, Pengurus Kanan Projek di University of Alicante, Sepanyol.

Dalam sesi tersebut, beliau turut berkongsi beberapa elemen penting yang perlu diberikan perhatian dalam pembangunan e-portfolio, termasuklah latar belakang akademik, bidang penyelidikan, senarai penerbitan, projek penyelidikan, pencapaian serta pelibatan dalam komuniti dan industri.

Beliau turut menggalakkan penggunaan platform digital yang mesra pengguna dan sentiasa dikemas kini bagi memastikan maklumat kekal relevan.

Jelasnya,

e-portfolio yang baik perlu bersifat dinamik dan sentiasa dikemas kini kerana platform ini bukan dokumen statik, tetapi refleksi perjalanan akademik yang sentiasa berkembang.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar institusi pengajian tinggi memberikan sokongan berterusan kepada pensyarah dalam membangunkan e-portfolio masing-masing melalui latihan, bengkel dan penyediaan garis panduan yang jelas kerana langkah ini diyakini mampu meningkatkan reputasi institusi secara keseluruhan.

Sebagai penutup, beliau menegaskan bahawa e-portfolio bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan dalam landskap akademik kini.

Perkongsian ini dibawakan oleh Kumpulan Digital Transformation for Natural Hazard (DIGIHAZ) untuk pembangunan karier penyelidik dan saintis muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi