Diterbitkan pada 30 April 2026, 18:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Berikutan penyakit tuberkulosis (tibi) yang kekal sebagai isu kesihatan awam signifikan di Malaysia dengan sekitar 25 000 hingga 26 000 kes direkodkan pada setiap tahun, program “Diari Tibi: Kenal, Cegah dan Rawat” dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat melalui pendekatan audio siar (podcast) yang santai dan berkesan.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar insiden tibi di negara ini dianggarkan sekitar 90 kes bagi setiap 100 000 orang penduduk, sekali gus membuktikan penyakit ini masih memerlukan intervensi berterusan, khususnya dari segi pendidikan dan kesedaran awam.

Program anjuran Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Akademik, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Sekretariat Mahasiswa Fakulti Sains Gunaan itu berjaya menarik hampir 1200 orang penonton menerusi siaran langsung audio siar.

Sesi perkongsian utama disampaikan oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Kawalan Penyakit Tibi dan Kusta, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, YBrs. Dr. Norain Mansor, manakala sesi perbincangan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Encik Fairus Muhamad Darus bersama-sama Puan Najwa Zaidi daripada Majlis Perwakilan Pelajar sebagai moderator bersama.

Perbincangan tersebut memberikan tumpuan kepada empat aspek utama dalam menangani tibi secara menyeluruh, iaitu kepentingan mengenali gejala awal seperti batuk berpanjangan, penurunan berat badan, demam berlarutan dan peluh malam yang sering diabaikan sehingga menyebabkan pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat yang lebih serius.

Dalam sesi perkongsian itu, saringan awal tibi turut ditekankan, khususnya apabila berlaku kes dalam institusi, tempat kerja, komuniti atau kediaman bagi membolehkan pengesanan awal dan memutuskan rantaian penularan.

YBrs. Dr. Norain Mansor menyarankan agar pesakit berdisiplin dalam mematuhi rawatan yang memerlukan tempoh panjang kerana kegagalan berbuat demikian boleh menjejaskan pemulihan serta meningkatkan risiko rintangan ubat yang lebih sukar dirawat.

Ujarnya,

Sokongan psikososial daripada keluarga, rakan sekerja dan komuniti amat penting bagi membantu pesakit menghadapi stigma dan tekanan emosi sepanjang tempoh rawatan.

Pada peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menegaskan bahawa tibi masih merupakan antara penyakit berjangkit utama dunia, dengan cabaran utama kini tertumpu kepada tahap kesedaran dan tingkah laku masyarakat.

Penggunaan audio siar sebagai medium komunikasi dalam program ini memperlihatkan anjakan dalam penyampaian maklumat kesihatan, sekali gus membuktikan pendekatan digital mampu meningkatkan capaian serta keberkesanan mesej, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Inisiatif ini juga mencerminkan peranan institusi pendidikan dalam memperkasakan literasi kesihatan masyarakat melalui pendekatan yang lebih relevan dengan perubahan semasa.

Sesi penyampaian cenderamata sebagai tanda penghargaan daripada pihak penganjur.
Barisan jawatankuasa pelaksana program “Diari Tibi: Kenal, Cegah dan Rawat”.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi